Sekarang bukan masa tangguh dana, kata PBB
MOSCOW - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk menangguhkan pembiayaan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor agensi berita Sputnik.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap pengumuman Presiden Donald Trump yang mahu menghentikan sumbangan negara itu kepada WHO.
Trump juga menuduh badan kesihatan dunia itu gagal dalam menguruskan wabak Covid-19.
"Sekarang juga bukan masanya untuk mengurangkan sumber operasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau organisasi kemanusiaan lain dalam memerangi virus itu.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, sekarang adalah masa untuk masyarakat antarabangsa bersatu dan bekerjasama untuk menghentikan virus," kata Guterres
WHO pada 11 Mac mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik.
Menurut data terbaru WHO, lebih 1,844,000 kes Covid-19 didaftarkan di dunia dan sehingga kini sudah meragut lebih 117,000 nyawa.
Menurut Johns Hopkins University, jumlah kes disahkan di seluruh dunia berjumlah 1,980,003 dengan 126,557 kematian dan 485,917 pesakit sembuh. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Trump beku dana kepada WHO
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!