Warga emas meninggal bukan akibat kelaparan
KUANTAN - Warga emas yang ditemui meninggal dunia di pondok dalam kebun durian milik bapanya di Jalan Kechau, Lipis pagi semalam bukan disebabkan kelaparan sebaliknya akibat serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, punca kematian mangsa disahkan pihak Hospital Lipis selepas proses bedah siasat dijalankan semalam.
Menurutnya, warga emas berusia 72 tahun yang masih bujang tersebut sebelum itu diselamatkan anggota polis Isnin lalu selepas ditemui dalam keadaan tidak bermaya di tepi jalan kira-kira satu kilometer dari pondok didiaminya.
"Mangsa sebelum itu ditemui oleh seorang orang awam sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.
"Ketika ditemui, warga emas itu mendakwa dia dalam perjalanan ke Bandar Baharu Kuala Lipis untuk membeli makanan dan berehat seketika di tepi jalan kerana keletihan dan tidak mampu untuk terus berjalan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azli berkata, anggota polis yang ketika itu sedang menjalankan rondaan Ops Covid-19 membantu lelaki tersebut dengan membelikan makanan sebelum menghantarnya pulang ke pondok didiaminya itu.
"Anggota polis beredar selepas lelaki berkenaan dipastikan berada dalam keadaan baik dan kembali lagi pada malamnya untuk menghantar makanan.
"Pada pagi hari berikutnya kira-kira jam 8 pagi, anggota polis bersama ketua kampung sekali lagi datang menemui warga emas berkenaan untuk menghantar makanan dan memantau keadaannya, namun pintu pondok itu dalam keadaan berkunci.
"Curiga dengan keadaan mangsa, anggota memecahkan pintu sebelum mendapati mangsa berada dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri di lantai," katanya.
Azli berkata, pihak hospital yang tiba selepas dihubungi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.
"Hasil laporan bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat masalah jantung.Mayat mangsa sudah diserahkan kepada keluarga untuk proses pengebumian," katanya.
Beliau menegaskan, dakwaan kematian mangsa akibat kelaparan seperti yang tersebar di laman sosial tidak benar.
Kelmarin tular di media sosial Facebook warga emas itu ditemui seorang pengusaha bengkel motosikal kira-kira jam 1 tengah hari dalam keadaan tidak bermaya sebelum dimaklumkan kepada polis untuk bantuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!