Tiada kes jangkitan Covid-19 di PRP Kem Batu 10
KUANTAN - Tiada kes jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) membabitkan Orang Diselia (ODS) dan kakitangan di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10 di Kuantan.
Komandan PRP Kem Batu 10, Penolong Penguasa Penjara Mohd Rani Zakaria berkata, bagaimanapun pusat terbabit disanitasi sebagai langkah pencegahan awal mengekang penularan Covid-19.
"Pengendali operasi sanitasi dilakukan selama satu jam melibatkan blok penghuni, pejabat, dewan, surau, pintu utama dan laluan.
"PRP ini tidak sama seperti penjara dari segi saiz dan jumlah pesalah tetapi apa yang penting operasi pencegahan sebarang jenis penyakit perlu dilakukan mengikut prosedur ditetapkan sebagai langkah pembasmian virus," katanya.
Operasi sanitasi dilakukan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 1 dibantu Balai Bomba Taman Tas membabitkan tiga pegawai kanan dan empat anggota.
Mohd Rani berkata, pihaknya sentiasa melakukan saringan suhu badan setiap kakitangan yang bertugas setiap hari bagi memastikan mereka dalam keadaan sihat sebelum memasuki pusat terbabit.
Katanya, PRP Kem Batu 10 menempatkan 180 ODS yang terbabit pelbagai kesalahan.
“Sepanjang ODS berada di sini (PRP), mereka diberi didikan agama. Jadi kita harapkan ia menjadi benteng untuk insaf dan kembali ke pangkal jalan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!