Langkah KPM bukan melawan arus: NUTP
SHAH ALAM - Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membatalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun ini bukan satu keputusan melawan arus.
Sebaliknya, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menyifatkan ia langkah terbaik KPM mendepani kesan wabak koronavirus (Covid-19).
Presidennya, Aminuddin Awang berkata, pihaknya turut menyambut baik pengumuman Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin bahawa kedua-dua peperiksaan berkenaan dibatalkan kerana ia bukanlah satu-satunya elemen untuk KPM menilai kemampuan pelajar.
"UPSR hanyalah satu daripada empat komponen dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang turut meliputi komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik.
"Lagipun, keputusan UPSR dan PT3 pelajar hanyalah rujukan bagi kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Selain itu, katanya, pihaknya juga menyokong KPM menangguhkan sesi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada suku pertama tahun hadapan.
"Keputusan KPM membatalkan UPSR dan PT3 selain menangguhkan peperiksaan SPM dan STPM adalah sesuai cukup baik untuk kebajikan pelajar, sesuai dengan keadaan semasa. Paling penting, ia tidak akan menggagalkan pelajar pun," katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata, keputusan tegas KPM memberi keutamaan kepada pelajar bakal menduduki SPM serta STPM mengikuti sesi pembelajaran di sekolah sekiranya sesi persekolahan dibuka semula turut membuktikan keseriusan kerajaan dalam menentukan hala tuju pendidikan pelajar.
Menurutnya, keutamaan seharusnya diberikan kepada dua kumpulan pelajar berkenaan kerana peperiksaan SPM dan STPM adalah kriteria utama menentukan perjalanan masa hadapan mereka ke institusi pengajian tinggi (IPT).
"NUTP turut memberi jaminan bahawa sejumlah 460,000 guru di seluruh Malaysia akan tetap komited menjalankan tugas mendidik pelajar seperti biasa, biarpun kini terpaksa menyesuaikan diri dengan amalan bekerja dari rumah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!