Dakwaan orang asli terputus makanan tidak benar

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyangkal laporan sebuah portal berita yang mendakwa masyarakat orang asli di Pulau Indah terputus bekalan makanan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam maklum balas berkata, Bantuan Bakul Makanan dengan nilai RM100 telah terlebih dahulu diagihkan pada fasa pertama dengan jumlah penerima 64 ketua isi rumah.

Menurut Jakoa lagi, jumlah penerima bantuan kemudiannya ditambah kepada 84 ketua isi rumah dalam agihan fasa kedua pada 10 April lalu.

"Fasa pertama membabitkan 49,670 ketua isi rumah manakala fasa kedua melibatkan 55,000 ketua isi rumah berikutan ada yang berpindah-randah kembali ke kampung sejak pelaksanaan PKP.

"Kerajaan memperuntukkan RM11 juta untuk bakul makanan dan kit kesihatan kepada masyarakat orang asli di seluruh negara. Daripada jumlah itu, RM5 juta untuk agihan fasa pertama manakala RM6 juta bagi fasa kedua," kata KPLB dalam satu kenyataan di sini semalam.

Selain itu, Jakoa menjelaskan barang keperluan asas yang diagihkan adalah beras, kicap, sardin, tepung, susu, minyak masak, garam, teh dan gula pasir. Pada fasa kedua, penambahan barangan seperti topeng muka, hand sanitizer, sabun dan susu formula turut dimasukkan.

"Di samping agihan bantuan daripada kerajaan, Jakoa juga turut terlibat menyelaras dan mengagihkan bantuan daripada agensi luar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk ahli-ahli Parlimen.

"Jakoa mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Parlimen yang turut menyumbang dalam membantu masyarakat orang asli," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: