Armada sokong langkah Kementerian Pendidikan
SHAH ALAM - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyambut baik langkah proaktif diambil Kementerian Pendidikan dalam soal keselamatan pelajar susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) termasuk berkaitan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) serta peperiksaan di sekolah-sekolah bagi tahun 2020.
Exco Pendidikan Armada, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, langkah diambil kerajaan itu dilihat menyeluruh dan mendapati perancangan yang ditonjolkan wajar dalam menjaga kebajikan pelajar demi mengelakkan keciciran yang mungkin dihadapi pada tahun 2021.
Beliau berkata, Armada menyambut baik tindakan menunda peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) ke suku pertama tahun 2021, sementara peperiksaan Semester 2 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) telah direncana pada Ogos 2020 diikuti Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan STPM untuk Semester 3 yang turut dianjak ke suku pertama 2021.
Dalam pada itu katanya, kerajaan juga memutuskan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 dibatalkan.
"Langkah kerajaan dengan hanya memfokuskan kepada penilaian menengah tinggi awam (kelas peperiksaan awam) dengan turut menyambung persekolahan bagi SPM, SVM dan ke atas adalah satu tindakan berisiko, namun dilihat aspek kewajarannya.
"Armada berharap KPM akan menyediakan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat seperti yang diuar-uarkan terdapat Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, ini kerana Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) atau pembelajaran atas talian di rumah perlu mengambil kira kekangan daripada setiap aspek (guru dan pelajar / masalah luar bandar).
"Armada berpendapat dengan hanya memberikan fokus kepada kelas peperiksaan awam akan meringankan beban juga memudahkan pengurusan apabila terdapat ruang kelas yang kosong membolehkan langkah keselamatan seperti penjarakan sosial dapat dipraktikkan.
"Kita berharap KPM turut membawa peranan pihak berkuasa seperti tentera dan polis untuk ditempatkan di sekolah-sekolah bagi memantau perjalanan PnP. Tahniah KPM atas inisiatif demi kelangsungan pendidikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!