Perak sedia penempatan khas gelandangan

Ahmad Faizal menyantuni gelandangan di sekitar Jalan Dato Onn Jafar, Ipoh hari ini.
Ahmad Faizal menyantuni gelandangan di sekitar Jalan Dato Onn Jafar, Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak sedang menyediakan penempatan khas bagi golongan gelandangan dan individu yang tidak mempunyai tempat tinggal.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah itu diambil bagi menjaga kebajikan golongan terbabit sekali gus mengelak mereka daripada berkeliaran yang boleh mengundang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Kita ambil contoh apa yang dilakukan Menteri Wilayah Persekutuan yang mana kumpulan gelandangan ini diletakkan di satu kawasan, pihak-pihak badan bukan kerajaan (NGO) pula beri bantuan makanan dan sebagainya, ini satu kaedah yang boleh kita ikut.

"Kerajaan negeri sedang rangka bentuk bantuan itu dan kita akan ambil tindakan segera mungkin. Insya-ALLAH dalam minggu ini kerana kita juga tidak boleh membiarkan mereka keluar merata-rata dibimbangi akan dijangkiti atau menjangkiti orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau agihan makanan kepada gelandangan di sekitar Jalan Dato Onn Jafar di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berlaku peningkatan jumlah gelandangan terutama di kawasan bandar raya Ipoh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Katanya, pertambahan itu berlaku mungkin disebabkan kes kehilangan pekerjaan terutama bagi yang mengambil upah harian menyebabkan mereka tidak mampu membayar sewa bilik hingga akhirnya memaksa menjadi gelandangan secara tiba-tiba.

"Kes-kes disebabkan PKP ini yang perlu kita bantu segera dan atas sebab itu hari ini kita turun padang untuk lihat dan buat audit sendiri sebelum tindakan susulan dibuat, pada waktu ini paling penting bagi mereka adalah tempat tinggal dan makanan, kemudian baru kita selesai isu lainnya satu persatu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, setakat ini hanya terdapat sebuah pusat transit disediakan khusus untuk gelandangan di Kamunting, Taiping hasil inisiatif Pegawai Daerah di situ.

Katanya, pusat berkenaan menempatkan 15 gelandangan yang kehilangan kerja dan pendapatan serta tempat tinggal disebabkan pelaksanaan PKP.

"Dari segi bantuan makanan, kerajaan negeri ada menyediakan dalam bentuk bahan makanan dan makanan siap yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), NGO dan individu untuk diagihkan kepada gelandangan di kawasan masing-masing," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!