Pelaksanaan P&P atas talian untuk TVET disambut baik
Nordin Abdul Malek
A
A
A
Pengerusinya, Nordin Abdul Malek berkata, pekeliling mengenai garis panduan pelaksanaan latihan kemahiran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran pada 13 April lalu melegakan semua pihak yang terlibat dalam Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau berkata, sebelum ini pihak jawatankuasa berkenaan mengemukakan beberapa syor kepada Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kewangan dalam usaha memastikan kelangsungan pendidikan kemahiran di negara ini.
"Kita amat mengalu-alukan pekeliling yang dikeluarkan untuk melaksanakan segera pengajaran dan pembelajaran dari rumah bagi pelatih Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui aplikasi atas talian seperti Google Classroom, Telegram dan sebagainya seperti yang pernah disyorkan jawatankuasa ini.
"Perkara ini sudah pasti melegakan semua pihak supaya proses kelangsungan pengajaran dan pembelajaran TVET khususnya pelatih SKM diteruskan mengikut prosedur pentauliahan SKM," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nordin berkata, pihaknya turut menghargai tindakan kerajaan memberikan bantuan secara sekali bayar kepada pelatih SKM tahap empat dan lima seperti yang diumumkan baru-baru ini.
Bagaimanapun pihaknya mencadangkan agar bantuan itu turut diperluaskan kepada semua pelatih SKM tanpa mengira tahap bermula tahap satu hingga lima bagi yang mengikuti pengajian sepenuh masa.
Beliau berkata, selain itu, bayaran pembiayaan pinjaman pelatih melibatkan yang melibatkan semua agensi sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri perlu dipercepatkan.
Sementara itu, Nordin berkata, kerajaan juga perlu mengatur persediaan awal sekiranya berlaku pemberhentian pekerja akibat daripada PKP dan Covid-19 pada masa depan seperti yang diramalkan oleh kajian Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mungkin mencecah 2 juta lebih.
"Dengan kerjasama di antara pihak kerajaan dan ILKS melalui pendekatan kerjasama awam dan swasta, kita akan bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
"Insya-ALLAH dengan cara ini kita dapat membantu mereka yang diberhentikan untuk mendapatkan ilmu, kemahiran dan pengalaman baharu melalui program bersifat upskilling, reskilling, cross skilling," katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa bertindak amat berkeyakinan bahawa kerajaan akan terus mempertimbangkan insentif atau inisiatif demi kelangsungan TVET di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!