Gerakan laporan polis ke atas Peguam Negara diperhebat
KUALA KANGSAR - Desakan Peguam Negara, Tommy Thomas menyegerakan pendedahan laporan siasatan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, akhir November lalu semakin diperhebat.
Kali ini Gerakan Pembela Ummah Perak pula membuat laporan polis ke atas Tommy susulan kebimbangan terdapat salah laku atau kacau ganggu dalam siasatan kes pembunuhan anggota bomba itu.
Pengerusinya, Mohd Khalil Idham Lim Abdullah berkata, laporan itu sepatutnya diumumkan kerana polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat timbalan pendakwa raya, minggu lalu.
"Sekiranya ada usaha melambat-lambatkan membawa pesalah ke muka pengadilan dalam kes Allahyarham Muhammad Adib, ianya adalah sesuatu yang amat malang.
"Kami melihat keharmonian hidup dalam sebuah negara seperti Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama mestilah dipertahankan dan salah satunya dengan menegakkan undang-undang dengan menghukum pesalah tanpa mengira siapa mereka.
"Saya mengharapkan polis berdasarkan Seksyen 212 Kanun Keseksaan dan melalui peruntukan undang-undang sedia ada untuk menjalankan siasatan terperinci dengan membawa pesalah ke muka pengadilan dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan bersalah atau tidak," katanya kepada media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar hari ini.
Khamis lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dilapor berkata, siasatan kes kematian Muhammad Adib sudah selesai dan kertas siasatan dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Muhammad Adib meninggal dunia tiga minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara pada 17 Disember tahun lalu, akibat cedera parah selepas diserang perusuh di luar Kuil Sri Maha Mariamman, pada 27 November tahun lalu.
Khalil Idham turut mempersoalkan tindakan mahkamah membenarkan suspek diikat jamin dan menggesa tiada campur tangan politik dalam kes itu bagi mengelakkan ia diganggu gugat mana-mana pihak.
"Peguam Negara juga tidak wajar mengarahkan inkues diadakan kerana punca kematian Muhammad Adib dan suspek kes itu sudah dikenal pasti.
“Jadi, kita minta kerajaan mengambil tindakan segera, terutamanya pada Tommy Thomas supaya tidak melakukan apa-apa penangguhan atau mungkin berlaku ubah suai atau cubaan melindungi dalam laporan kes ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!