Geoekonomi perang harga minyak

A
A
A

TAMATNYA perang harga minyak global baru-baru ini boleh difahami daripada perspektif ‘geoekonomi’.

Sarjana Giovanni Grevi mentakrif istilah ‘geoekonomi’ sebagai ‘penterjemahan aset ekonomi menjadi pengaruh politik’ serta ‘penggunaan kuasa politik bagi mencapai matlamat ekonomi melalui kaedah bersaing atau bekerjasama’.

Konsep geoekonomi ini sama dengan tataurus ekonomi luar atau ‘economic statecraft’ yang diajukan oleh Micheal Mastanduno yang boleh difahami sebagai ‘penggunaan kaedah dan hubungan ekonomi untuk mencapai matlamat dasar luar’.

Inilah yang terjadi antara Amerika-Arab Saudi dan Rusia-Venezuela dalam perang harga minyak baru-baru ini.

Selepas sebulan perang harga minyak meletus dan menjatuhkan harga minyak global di saat krisis COVID-19, negara-negara yang ‘berperang’ dalam OPEC+ telah mencapai kesepakatan.

Ini merupakan berita baik untuk negara kita – sekitar 30.9 peratus daripada pendapatan kerajaan disumbang oleh hasil petroleum. Harga minyak dijangka naik sebanyak USD15 setong dalam masa terdekat.

Setiap kenaikan harga minyak sebanyak USD1 satu tong pula akan menyaksikan kerajaan kita meraih pendapatan sebanyak RM300 juta.

Kedua-dua Arab Saudi dan Rusia serta negara-negara anggota OPEC yang lain bersetuju untuk memotong pengeluaran minyak masing-masing sebanyak 9.7 juta tong sehari, sekali gus menjanjikan harga minyak ke paras yang stabil.

Artikel Berkaitan:

Presiden Amerika Donald Trump menjadi pemenang terbesar apabila beliau bukan sahaja ‘berjaya’ menjadi perantara Presiden Obrador (Mexico), Vladimir Putin (Rusia), dan juga Raja Salman (Arab Saudi) dalam rundingan menamatkan perang harga minyak ini, bahkan beliau ‘berjaya’ memastikan bahawa tiada pemotongan besar dalam pengeluaran minyak Amerika.

Hal ini bermakna dalam keadaan Arab Saudi dan Rusia bersetuju untuk memotong pengeluaran minyak masing-masing, Amerika yang tidak perlu memotong banyak pengeluaran minyak mereka akan menikmati keuntungan.

Pengaruh

Peluang Donald Trump untuk menghadapi Pilihan Raya Presiden Amerika 2020 semakin cerah kerana ‘kejayaan’ beliau menamatkan perang harga minyak ini menguntungkan industri ‘shale oil’ Amerika, negeri-negeri pengeluar minyak di Amerika, dan juga gergasi minyak seperti Exxon.

Untuk rekod, perang harga minyak ini meletus pada Mac 2020 apabila Arab Saudi meningkatkan pengeluaran minyak – kemuncaknya hingga ke 12.3 juta tong sehari pada April – di samping memberikan diskaun kepada para pelanggannya di Eropah, Asia, dan Amerika Syarikat.

Arab Saudi sengaja bertindak sedemikian sebagai isyarat tidak berpuas hati dengan tindakan Rusia yang sebelum itu enggan untuk mengurangkan pengeluaran ketika wabak Covid-19 mula memberi impak.

Tindakan Rusia ketika itu adalah sebagai balasan kepada Amerika Syarikat – sekutu rapat Arab Saudi – yang menekan pengeluar minyak terbesar Rusia Rosneft supaya menjual aset mereka di Venezuela, negara yang dikuasai sekutu Rusia iaitu Nicolas Maduro.

Hakikatnya, meski pun Rosneft melepaskan pegangan mereka daripada aset-aset di Venezuela, namun ia telah dibeli oleh syarikat-syarikat milik Rusia juga. Maka pelan Amerika untuk menghapuskan pengaruh Rusia di Venezuela tetap gagal meski pun Rosneft menjual aset mereka di Venezuela.

Ternyata, pihak yang paling rugi dalam geoekonomi perang harga minyak ini ialah Arab Saudi. Saham Aramco jatuh dalam keadaan 40 peratus pendapatan mereka yang bergantung pada harga minyak yang telah mereka sendiri jatuhkan terkesan.

Amerika khususnya Trump menang di mata syarikat gergasi minyak dan juga negeri-negeri pengeluar minyak di Amerika. Rusia pula masih berjaya mengekalkan pengaruh mereka dalam industri minyak Venezuela melalui proksi Kremlin.

Apa yang pasti, kita di Malaysia perlu berdoa semoga tamatnya perang harga minyak ini akan menyaksikan kenaikan harga minyak yang signifikan demi meningkatkan pendapatan kerajaan bagi terus berhadapan dengan krisis Covid-19.

Semoga ALLAH peliharakan ekonomi politik kita.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!