Liga-M panas dek penangan Covid-19

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

MUNGKIN tidak keterlaluan jika dikatakan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini agak panas kesan daripada ancaman penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

Sejak ditangguhkan mulai 16 Mac lalu, satu demi satu masalah timbul. Paling hangat diperkatakan sudah pasti berkenaan pemotongan gaji pemain yang mahu dilakukan beberapa pasukan.

Selain isu pemotongan gaji,timbul juga desakan beberapa pihak yang mahukan Liga-M musim ini dibatalkan serta-merta. Begitupun, ada juga pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan membatalkan liga.

Masing-masing mempunyai hujahan dan dalil mereka sendiri bagi menyokong pendirian masing-masing. Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri dengan apa yang dihujahkan.

Paling mencuri tumpuan empat entiti – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Persatuan Juulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM).

Tidak terkecuali, beberapa pakar termasuk dalam kalangan pensyarah turut memberikan pandangan mereka. Biarpun berbeza pendapat, nawaitu mereka hanya satu – menyelamatkan arena bola sepak Malaysia.

Dalam pada peminat mahupun pengkritik bola sepak tempatan membicarakan soal pemotongan gaji pemain, pembatalan Liga-M dan beberapa isu berbangkit, tiba-tiba muncul pula cerita beberapa pasukan berdepan masalah hutang.

Sepertimana didedahkan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim Isnin lalu, Kedah, Melaka United, Pulau Pinang dan Kelantan berdepan masalah tunggakan gaji dengan pemain masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Sudah tentu apa yang mengejutkan masalah yang berlaku dalam skuad Lang Merah ketika ini. Tiada angin, tiada ribut, berita tunggakan gaji pemain Kedah ketika ini seakan-akan ‘menggoncang’ seketika bumi Darul Aman.

Memang benar, kadangkala kebenaran itu perit untuk ditelan dan kadangkala fakta itu sukar untuk diterima. Tetapi itulah realiti yang berlaku. Itu jugalah yang berlaku dalam Liga-M ketika ini.

Bagi pasukan yang sudah berura-ura mahu memotong gaji pemain mahupun pegawai masing-masing, sebaik-baiknya selesaikan dulu apa yang tertunggak. Jangan dibiarkan masalah tunggakan gaji itu berlarutan.

FAM, MFL, PFAM dan PJBM juga perlu mencari titik kebersamaan bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak berasa diri mereka teraniaya. Situasi ‘menang-menang’ harus disepakati.

Jangan dek kesilapan mencatur langkah, kesan lebih buruk menghantui Liga-M pada masa akan datang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!