Flat tua saksi ragam hidup ibu kota
BELIAU ialah seorang usahawan dan hartawan terkenal. Beliau dikenali ramai menerusi rangkaian pasar raya dan cawangan Mydin miliknya yang kini sudahpun mencecah jumlah 69 outlet di seluruh negara.
Namun siapa sangka, Datuk Wira Ameer Ali Mydin yang sentiasa santai dan berterus terang dalam setiap butir bicaranya itu pernah menjadi antara penghuni flat Malayan Mansion sekitar tahun 1980-an.
Malah, beliau membuka kedai pertama Mydin di Kuala Lumpur di bangunan Selangor Mansion pada tahun 1987.
“Saya menetap di Malayan Mansion ketika masih bekerja di Arab Malaysian Bank. Pada ketika itu penghuni di flat tersebut rata-rata merupakan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim selain penduduk tetap,” imbau Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd itu.
Menurut Ameer Ali, beliau menetap di Malayan Mansion pada sekitar tahun 1982 hingga 1985 bersama isteri dan dua orang anak.
“Sepanjang menetap di sana, suasana kejiranan amat mesra, jiran tetangga saling mengenali antara satu sama lain dan kebersihan juga berada pada tahap yang baik,” katanya berkongsi detik-detik awal beliau membina kehidupan di ibu kota Kuala Lumpur.
Beliau mengakui, suasana dahulu dan sekarang ketika mendiami flat tiga bilik dengan kadar sewa sekitar RM600 itu amat berbeza.
“Kini, kedua-dua flat itu dihuni kira-kira 90 peratus pekerja warga asing terutamanya dari India, Nepal, Pakistan dan Bangladesh. Tahap kebersihan tidaklah begitu memuaskan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Kurang dikenali rakyat Malaysia, namun sejak 7 April lalu flat Malayan Mansion dan Selangor Mansion tiba-tiba meniti di bibir ramai orang. Flat tersebut merupakan lokasi keempat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) selepas 15 kes positif Covid-19 ditemui dalam kalangan penduduk bangunan berkenaan.
Malah, terbaru kerajaan memperluaskan PKPD di lokasi tersebut dengan turut melibatkan kawasan sekitar Masjid India bermula kelmarin. Antara kawasan terlibat termasuk Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang di sekitar Masjid India.
Menurut Ameer Ali yang juga Presiden Masjid India Business Associaton (MIBA), 90 orang pekerja Mydin turut terlibat dengan PKPD tersebut.
“Seramai 72 orang pekerja Mydin menetap di Malayan Mansion dan Selangor Mansion sementara 18 orang lagi tinggal di Menara City One. Apa yang penting sekarang adalah memastikan kebajikan penghuni terutama dari segi bekalan makanan.
“Baru-baru ini, pihak MIBA menyumbangkan 240 kotak bantuan berisi barangan kering dan keperluan harian berjumlah lebih RM48,000 kepada mereka yang terlibat,” katanya sambil menyeru lebih banyak pihak tampil menghulurkan sumbangan.PenghuniBerdiri gagah sejak tahun 1962, ternyata flat kediaman lapan tingkat itu telah menjadi saksi kepada sejarah pembangunan Kuala Lumpur dan kerencaman budaya masyarakat di tengah-tengah ibu kota.
Pada awal kewujudannya, sama seperti flat Jalan Pekeliling, bangunan tinggi yang dirujuk sebagai mansion itu cukup untuk menggambarkan kehebatannya sebagai bangunan besar, tinggi dan gagah ketika itu. Ia menjadi simbol kemajuan Kuala Lumpur menggantikan rumah-rumah kayu dan setinggan suatu ketika dahulu.
Berada di tengah-tengah Kuala Lumpur, flat-flat itu dulunya dihuni masyarakat tempatan termasuk warga kota berketurunan India Muslim. Ia menjadi pilihan kediaman pelbagai golongan termasuklah pekerja kolar putih memandangkan Jalan Masjid India dan Jalan TAR dikelilingi bangunan-bangunan kerajaan, swasta dan pelbagai premis perniagaan.
Bahkan, rangkaian makanan segera terkenal iaitu Kentucky Fried Chicken turut membuka restoran pertamanya di Jalan TAR pada tahun 1973.
Namun perlahan-lahan pembangunan pinggir kota yang menawarkan kediaman serta hartanah yang lebih selesa dan moden menyebabkan ramai penghuni asalnya mula berpindah ke kawasan lain. Hari ini, ‘isi perut’ flat-flat uzur di tengah kota sudahpun berganti penghuni dengan rata-ratanya pekerja asing.
Menurut Pensyarah Akademik, Unit Sains Sosial, Jabatan Pengajian Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Dr. Shapiza Sharif, nama Jalan Masjid India diambil sempena nama Masjid India yang terletak berhampiran Sungai Klang.
“Masjid tersebut dibina pada tahun 1863 oleh pedagang India Muslim dari India. Pada awalnya, ia dibina menggunakan papan dan kayu sebelum dinaik taraf menggunakan batu-bata agar dapat mengurangkan risiko kebakaran.
“Dana naik taraf masjid itu merupakan hasil sumbangan peniaga-peniaga India Muslim yang berniaga di Batu Road (kemudian ditukar menjadi Jalan Tuanku Abdul Rahman),” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN: 97 peratus penghuni Selangor Mansion, Malayan Mansion warga asing
Shapiza berkata, jumlah penduduk Kuala Lumpur yang meningkat setiap tahun sejak pembukaannya oleh Penguasa Jajahan Klang, Raja Abdullah Raja Jaafar pada tahun 1857 membawa kepada penilaian yang menunjukkan keadaan tidak tekal antara jumlah penduduk dan jumlah rumah.
“Pada tahun 1921, misalnya, penduduk Kuala Lumpur berjumlah 80,424 orang dan meningkat kepada 111,418 orang pada tahun 1931.
“Bagi menyelesaikan masalah kepadatan penduduk berbanding keluasan tapak yang terbatas maka bangunan bertingkat dibina sebagai kediaman penduduk.
“Selangor Mansion dan Malayan Mansion dibina pada tahun 1962 dan ia merupakan perumahan awal di Kuala Lumpur,” kata Shapiza sambil menambah Selangor Mansion dan Malayan Mansion terletak di lokasi strategik di Jalan Masjid India.
Katanya, bangunan lapan tingkat dengan 160 unit flat itu merupakan antara yang tertua di kawasan Masjid India dan menjadi tumpuan komuniti India Muslim dari India.
“Golongan India Muslim merupakan antara komuniti yang banyak memonopoli kegiatan perniagaan terutamanya dalam bidang tekstil di Kuala Lumpur seperti di Jalan Masjid India, Jalan Bunus dan Batu Road,” katanya yang banyak menghasilkan jurnal dan penulisan berkaitan sejarah Kuala Lumpur. Antara penulisan beliau termasuklah Kegiatan Ekonomi Masyarakat Kerinchi dan Rawa di Kuala Lumpur Pada Abad ke-19.
Namun seiring dengan kemajuan dan pembukaan penempatan baharu, ramai penduduk asal flat Malayan Mansion dan Selangor Mansion mula berpindah dan kini kawasan yang mempunyai nilai hartanah mencecah jutaan ringgit itu didiami pekerja asing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!