Tiga daerah di Perak zon hijau: Menteri Besar
IPOH - [DIKEMAS KINI] Tiga daerah di Perak dikenal pasti sebagai zon hijau berdasarkan tiada kes baharu dicatatkan selama dua minggu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, daerah tersebut adalah Kampar, Kuala Kangsar dan Muallim.
Menurutnya, perkara itu merupakan satu kejayaan hasil pematuhan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.
"Saya amat gembira melihat prestasi negeri Perak. Usaha yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri melihat ada petanda wabak ini dapat dihapuskan pada satu hari nanti, namun amat penting saya nak tegaskan kepada semua rakyat walaupun jumlah mereka dijangkiti Covid-19 nampaknya agak terkawal dengan PKP, namun usaha untuk kita terus berdisiplin.
"Walaupun bebas bukan alasan untuk rakyat di daerah terbabit boleh bebas keluar rumah. Kita tak nak tukar jadi zon merah. Saya harap rakyat akan terus patuh. Wabak ini bukan sahaja meragut nyawa tetapi melumpuhkan ekonomi negara," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan keperluan operasi Covid-19 kepada kerajaan Perak di Pejabat Menteri Besar Perak di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis penyerahan sumbangan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Zulazlan Abu Hassan; Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Ding Lay Ming dan Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, Datuk Dr Afifi Al-Akiti.
Sementara itu, Lay Ming berkata, tiga daerah tersebut menjadi zon hijau berdasarkan 14 hari tiada kes baharu yang dicatatkan di daerah-daerah tersebut.
Menurutnya, pihak Jabatan Kesihatan Perak berharap tiga daerah tersebut dapat mengekalkan status zon hijau.
Mengenai keperluan-keperluan penting seperti bekalan peralatan perlindungan diri (PPE), beliau berkata, peralatan tersebut memang diperlukan dari semasa ke semasa.
"Seperti yang diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, PPE adalah sesuatu yang sentiasa digunakan dan akan habis.
Kita sentiasa dan setiap hari mencari PPE bagi memastikan bekalan mencukupi. Selalunya mencukupi untuk dua minggu sehingga dua bulan bergantung kepada jenis PPE," katanya.
Dalam pada itu, sumbangan keperluan operasi Covid-19 berkenaan disumbangkan oleh Techlab Security Sdn Bhd dan KBY Holding manakala syarikat Puncak Emas Infra Sdn Bhd pula menyumbang RM50,000 kepada Ipoh Central Kitchen dan RM50,000 lagi kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Kerajaan Negeri Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!