Tong gas pun kena kebas!
TANJONG KARANG - Peniaga makanan mengalami kerugian apabila lapan tong gas petroleum cecair (LPG) di gerainya di Jalan Sungai Kajang di sini dicuri hari ini.
Norliah Mohamad, 54, berkata, kejadian itu disedari suaminya, Mohd Ismail Shaari, 56, ketika mengambil barang di dalam gerai itu pada jam 8.30 pagi tadi.
"Sebaik suami menghampiri pintu depan gerai dia (Mohd Ismail) ternampak rantai dan mangga pintu sudah terlerai.
“Selepas menjenguk ke dalam, suami terkejut mendapati lapan tong gas yang masih berisi dan sebahagiannya masih belum digunakan dilarikan penjenayah," katanya kepada Sinar Harian.
Norliah berkata, mereka sudah lama tidak berniaga di gerai itu berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
"Biasanya sehari atau dua hari kami akan ke gerai sepanjang PKP ini dan tak sangka pula ada pihak tidak bertanggungjawab memecah masuk di sebalik arahan kerajaan meminta semua penduduk duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting," katanya.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia yang berniaga di gerai itu sejak kira-kira 15 tahun lalu mengalami kerugian kira-kira RM1,016 sekiranya setiap tong gas bernilai RM127 setong.
Katanya, suaminya telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Tanjong Karang jam 9 pagi tadi.
"Sebenarnya sudah beberapa kali gerai kami dipecah masuk dan seingat saya kejadian sama pernah berlaku setahun atau dua lalu.
"Tujuan laporan polis dibuat bagi memastikan kejadian sama tidak berlaku di tujuh deretan premis lain di kawasan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!