Masih ada yang degil tunai solat jemaah di masjid

Penguatkuasa Agama Kelantan sedang memberi taklimat dan amaran kepada jemaah yang solat jemaah di masjid tersebut - GAMBAR FB Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Negeri Kelantan.
Penguatkuasa Agama Kelantan sedang memberi taklimat dan amaran kepada jemaah yang solat jemaah di masjid tersebut - GAMBAR FB Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Negeri Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU – Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memasuki Fasa Ketiga, terdapat segelintir penduduk di Kelantan yang masih ingkar terhadap arahan dikuatkuasakan kerajaan dengan menunaikan solat jemaah di masjid dan surau.

Sikap degil tersebut didedahkan dalam Facebook rasmi Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Negeri Kelantan semalam, yang memaparkan beberapa keping gambar mengenai tindakan segelintir penduduk di satu lokasi di negeri berkenaan dilihat masih tidak prihatin dengan larangan kerajaan itu yang tidak membenarkan sebarang aktiviti perhimpunan termasuk solat jemaah selain perlu mengamalkan penjarakan sosial.

Menurut kenyataan di laman tersebut, seramai tujuh orang Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) dan seorang pemandu telah membuat pemantauan serta pemerhatian di lokasi tersebut dan mendapati sembilan orang makmum bersama seorang imam berada dalam masjid tersebut dipercayai sedang menunaikan solat Isyak.

Setelah mereka selesai menunaikan solat tersebut, para jemaah itu telah diberikan taklimat ringkas serta amaran supaya mematuhi arahan pentadbiran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Walaupun melakukan penjarakan sosial semasa solat, namun amaran tegas tetap diberikan kepada mereka yang terlibat. GAMBAR FB Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Negeri Kelantan.
Walaupun melakukan penjarakan sosial semasa solat, namun amaran tegas tetap diberikan kepada mereka yang terlibat. GAMBAR FB Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Negeri Kelantan.

Dalam pada itu, tali rentang juga telah dipasang di kawasan sekitar masjid sebagai peringatan kepada orang awam supaya tidak berkumpul di masjid termasuk untuk solat berjemaah.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh ketika dihubungi memberitahu, pihaknya akan terus menjalankan operasi pemeriksaan dan bertindak segera terhadap aduan dikemukakan orang ramai.

Melalui perkongsian di Facebook sama, Jaheik turut memberi penegasan tegas akan membuat pemantauan berterusan bagi memastikan warga masjid dan surau sentiasa mematuhi arahan pentadbiran yang dikeluarkan oleh MAIK berdasarkan saranan kerajaan susulan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Untuk PKP Fasa Ketiga, tiada lagi amaran yang akan dikenakan sebaliknya jika disabitkan kesalahan, tindakan akan dilakukan berdasarkan Seksyen 121 Enakmen MAIK dengan denda RM5,000 atau tiga penjara, atau kedua-duanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!