Sorok dadah dalam roti
KLANG - Curiga dengan bungkusan roti dan telur yang dibawa, seorang pemandu e-hailing bertindak menyerahkan barangan itu kepada polis semasa sekatan jalan raya di Kampung Jawa di sini semalam sebelum menemui dadah di dalamnya.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, semasa sekatan jalan raya kira-kira jam 5.30 petang, pemandu berusia 26 tahun telah menyerahkan satu bungkusan plastik berisi dua bungkus roti dan telur.
"Pemandu e-hailing itu berbuat demikian kerana curiga pelanggannya dari Kampung Jawa sanggup menggunakan perkhidmatannya semata-mata untuk menghantar bungkusan roti dan telur ke Subang Jaya.
"Hasil pemeriksaan mendapati satu peket plastik lut sinar berisi leraian daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 14.11 gram yang disembunyikan dalam roti," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, keterangan pemandu terbabit telah diambil untuk membantu siasatan.
"Siasatan masih dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat. Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!