38 individu ditahan ingkar PKP di SPU
KEPALA BATAS - Seramai 38 individu ditahan termasuk seorang wanita di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tangkapan dibuat dalam pemantauan yang dilakukan di kawasan Butterworth, Mak Mandin, Kepala Batas dan Telok Air Tawar di sini oleh petugas Ops Covid-19 semalam.
Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia di antara 15 hingga 53 tahun termasuk empat lelaki warga Myanmar dan empat lelaki warga Bangladesh.
"Tangkapan terhadap mereka dibuat kerana didapati ingkar dengan PKP malah semasa pemantauan dilakukan mereka dilihat sedang duduk berkumpul dan bersembang.
"Amaran dan nasihat telah diberikan berulang kali, namun mereka tidak mengendahkan termasuk dua lelaki yang didapati sedang duduk melepak sambil meminum minuman keras tanpa menghiraukan kehadiran anggota polis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Noorzainy berkata, semakan yang dibuat mendapati ada di kalangan mereka mempunyai rekod lampau bersabit dengan kesalahan jenayah dan dadah.
Katanya, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Mahkamah Butterworth bagi mendapatkan perintah reman.
Beliau berkata, walaupun PKP telah masuk fasa ketiga, namun masih ada individu yang tidak patuh seolah-olah tidak takut dengan risiko dijangkiti Covid-19 dan tindakan undang-undang yang akan dikenakan terhadap mereka.
"Polis memandang serius perkara ini kerana masih ada lagi orang awam yang tidak patuh kepada arahan semasa walaupun PKP sudah masuk fasa ketiga.
"Masyarakat harus sedar bahawa kegagalan mereka untuk mematuhi PKP akan menyebabkan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak Covid -19 gagal jadi kita akan bertindak tegas terhadap mereka yang didapati berada di luar tanpa alasan yang munasabah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!