Rangsang semula ekonomi Kedah: Sultan Kedah
ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berharap projek infrastruktur berimpak tinggi di Kedah dapat diteruskan bagi merangsang semula pertumbuhan ekonomi negeri kesan koronavirus (Covid-19).
Titah baginda, ia perlu diteruskan berasaskan kepada pelarasan garis masa yang terkesan akibat krisis kesihatan itu.
"Sokongan jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan serta negeri amat dialu-alukan kerana keberhasilan projek-projek itu akan memberi manfaat besar tidak hanya kepada Kedah, malah kepada negara keseluruhannya.
"Beta difahamkan pelaksanaan fasa pertama projek Kedah Rubber City (KRC) telah bermula sejak Disember 2019, Kedah Aerotropolis kini dalam tindakan pengambilan balik tanah dan Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (BKH-SBEZ) juga telah memulakan fasa pertama," titah baginda.
Titah baginda diedarkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah bersempena Istiadat Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14, di sini hari ini.
Sultan Sallehuddin bertitah, hala tuju pembangunan negeri itu juga kini berada di landasan terbaik dan perkembangan tersebut sudah tentu membuka lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus berupaya mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat.
Sementara itu, baginda bertitah, jawatankuasa masjid hendaklah dimantapkan dan disuntik dengan ciri-ciri kepemimpinan berintegriti dan mentransformasikan pengurusan secara lebih profesional terutama aspek pentadbiran, kewangan dan jaringan komuniti kariah.
Baginda turut menyarankan pihak jawatankuasa dapat menggunakan wang simpanan masjid bagi membantu rakyat berdepan kesulitan ketika (Covid-19).
"Menyentuh mengenai perpaduan sejagat dan memartabatkan syiar Islam, peranan masjid perlu diperluaskan bukan hanya sebagai tempat beribadah malah berperanan merapatkan hubungan yang melangkaui bukan saja dalam kalangan masyarakat Islam," titah baginda.
Dalam perkembangan lain, baginda juga turut menegur sikap segelintir pihak yang mengeluarkan pelbagai kenyataan menyentuh sensitiviti agama dan kaum di Malaysia sejak akhir-akhir ini dengan berselindung di sebalik kedaulatan hak asasi manusia.
Baginda mengingatkan keadaan tersebut mampu membawa padah kepada negara, apatah lagi sekiranya sikap hormat-menghormati dan toleransi kaum terhakis.
"Jadikanlah suasana huru-hara, pergolakan dan sengketa kaum di beberapa negara asing sebagai iktibar," titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!