Tujuh didenda berjudi ketika PKP
PETALING JAYA - Tujuh individu termasuk tiga warga Indonesia yang bermain judi dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) didenda RM1,000 seorang atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Warga Indonesia, Irudri Puspita Sari, 30; Ani Sumarni, 35; Rahmatilawati, 32, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nurshahirah Abdul Salim.
Turut membuat pengakuan sama ialah Alias Ibrahim, 53; Mohd Shahrizan Ma’il, 34; Abdul Amin Ahmad, 36 dan Shahrul Amir D’zulkefri, 27.
Mengikut pertuduhan, mereka gagal mematuhi PKP tanpa alasan munasabah dengan berhimpun di sebuah premis di Damansara Damai di sini pada jam 8.50 malam, 3 April lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, P Vithiya Monisha meminta hukuman berbentuk pengajaran diberi kepada kesemua tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.
Bagaimanapun, peguam, Dinesh Ramachandran merayu hukuman denda paling ringan terhadap semua anak guamnya itu yang perlu menanggung keluarga serta berpendapatan rendah.
Dalam pada itu, dua daripadanya iaitu Irudri dan Rahmatilawati didenda hukuman penjara enam bulan melibatkan kesalahan berasingan iaitu gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah ketika ditahan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang membawa hukuman denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!