Balik kampung sambut Ramadan tidak dibenarkan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga tetap tidak membenarkan perjalanan merentasi negeri termasuk pulang ke kampung untuk menyambut Ramadan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana undang-undang PKP fasa satu dan kedua masih terpakai untuk fasa ketiga yang telah bermula semalam sehingga 28 April ini.

“Kita tidak benarkan pergerakan merentasi negeri sejak PKP satu dan dua, bukan Ramadan sekali pun masih tertakluk kepada undang-undang sama.

“Ini bermakna, pergerakan beramai-ramai (dalam PKP fasa ketiga) untuk pulang ke kampung (menyambut Ramadan) juga tidak dibenarkan, memang tidak boleh,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan kerajaan bagi menghadapi kemungkinan ramai yang akan pulang ke kampung untuk menyambut Ramadan sekali gus menyebabkan kesesakan di lebuh raya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, orang ramai juga turut diingatkan agar mematuhi pergerakan 10 kilometer dari kediaman seperti yang dikuatkuasakan dalam PKP sebelum ini.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa undang-undang PKP untuk fasa ketiga ini juga masih sama termasuklah pergerakan di bawah 10 kilometer dari kediaman sama ada untuk membeli makanan dan sebagainya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!