Semua industri perlu mohon kebenaran MITI sebelum beroperasi
PUTRAJAYA – Semua industri perlu memohon kebenaran dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum memulakan operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, mana-mana industri yang belum mendapat kelulusan kementerian itu tidak dibenarkan beroperasi.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati banyak kenderaan di jalan raya terutamanya kenderaan perkhidmatan bukan essential (penting) yang mengambil kesempatan memulakan operasi perniagaan walaupun belum mendapat kelulusan beroperasi.
“Ingin ditegaskan bahawa, semua industri perlu memohon kebenaran dari MITI dan tidak dibenarkan beroperasi tanpa kelulusan (MITI),” katanya katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, industri dan sektor seperti bekalan makanan dan perubatan, yang telah diberi kebenaran beroperasi semasa PKP satu dan dua dibenarkan beroperasi seperti biasa.
“Kerajaan akan membenarkan sebarang aktiviti yang membabitkan rantaian bekalan dan pemasaran makanan dan perubatan seperti aktiviti pertanian, penternakan, perikanan dan akuakultur bagi memastikan bekalan mencukupi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!