Peruntukan RM120,000 untuk 'runner' GanuShop

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman
Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) memperuntukkan RM120,000 kepada 800 penghantar makanan atau runner bazar Ramadan online dikenali sebagai GanuShop yang akan bermula 1 Ramadan.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ‘elaun siap sedia’ itu akan dibayar sebanyak RM150 setiap seorang pada bulan puasa nanti.

Menurutnya, bayaran itu tidak termasuk upah yang akan diterima oleh runner berkenaan melalui penghantaran pesanan makanan dalam GanuShop nanti.

“Upah mereka nanti adalah berdasarkan jarak peniaga dan pembeli. Dalam sistem nanti secara standard akan dikira RM2 bagi setiap lima kilometer (KM) untuk seorang pembeli.

“Permohonan runner akan dibuka pada hari Sabtu atau Ahad nanti dan kita hadkan 25 orang runner bagi setiap 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya selepas hadir ke taklimat GanuShop di Wisma Darul Iman hari ini.

Mohd Nurkhuzaini berkata, pihaknya turut berbincang dengan pihak berkuasa supaya runner yang berdaftar dengan GanuShop boleh bergerak menghantar pesanan melebihi jarak 10km menggunakan pas lantikan khas.

Katanya, GanuShop yang mengandungi peniaga, pembeli dan penghantar makanan menjadi platform usahawan Terengganu memasarkan produk dan makanan mereka sepanjang bulan puasa nanti.

Menurut beliau, peniaga sudah boleh memuat turun aplikasi GanuShop di Android Play Store bermula semalam dan setakat ini lebih 700 peniaga telah mendaftar manakala pembeli boleh berbuat demikian beberapa hari sebelum Ramadan.

Artikel Berkaitan:

“Antara syarat bagi peniaga yang ingin menjual melalui GanuShop ialah perlu mempunyai suntikan pengendalian makanan atau suntikan tifoid bagi memastikan makanan dalam keadaan yang bersih dan terjaga.

“Keutamaan diberikan kepada 7,180 peniaga bazar Ramadan tahun lalu kerana mereka telah faham bagaimana operasi penyediaan makanan mengikut standard Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.

GanuShop diselaraskan oleh YPU dan dibantu 32 Pusat Khidmat Masyarakat DUN.

Segala tempahan makanan melalui GanuShop akan ditutup pada pukul 12 tengah hari setiap hari dan proses penghantaran akan bermula selepas jam 3 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!