Cubaan seludup hasil pertanian guna kurier
BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan untuk membawa masuk beberapa hasil pertanian ke negara ini melalui perkhidmatan kurier, Selasa lalu.
Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, hasil kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang mengesan beberapa bungkusan milik warga tempatan berisi barangan keluaran pertanian dari pelbagai negara seperti Korea Selatan, Indonesia dan Taiwan di Pejabat Pos Malaysia, Bukit Mertajam di sini.
Menurutnya, antara yang dikesan adalah medium herba kering seberat 47.5 kilogram (kg) dan pokok kaktus (Astrophytum sp) sebanyak 45 unit yang diimport dari negara Korea Selatan.
"Selain itu, turut ditemui tiga unit kayu pelbagai jenis dari Taiwan untuk kegunaan persendirian tanpa sebarang dokumen import yang sah dan bijirin kopi asli pelbagai gred dari Indonesia seberat 36kg yang bernilai RM780 untuk tujuan pasaran di negeri ini.
"Kesemua keluaran pertanian yang dirampas didapati tidak mempunyai dokumen seperti import permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Maqis dan sijil fitosanitasi yang dikeluarkan dari negara pengimport.
"Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zarina berkata, jika sabit kesalahan individu yang terlibat dengan cubaan membawa masuk bahan berkenaan boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, Maqis telah mengesan semua pemilik barangan terbabit dan mereka diberi amaran selain barang yang dirampas akan dilupuskan.
Katanya, jika kesemua individu tersebut mengulangi kesalahan yang sama boleh didakwa di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang diguna oleh Maqis.
"Maqis sentiasa mengambil langkah tegas bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.
"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!