Tiada aktiviti rasmi Diraja sepanjang Ramadan: Sultan Kedah
ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, tiada aktiviti rasmi Diraja sepanjang Ramadan pada tahun ini berikutan situasi semasa penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Baginda turut melahirkan rasa berat hati dan dukacita tidak dapat berangkat ke sebarang majlis rasmi, majlis berbuka puasa serta solat tarawih bersama rakyat sebagaimana kelaziman sebelum ini kerana mengambil kira situasi terkini Covid-19 yang melanda negara.
"Rakyat Kedah diharapkan menyambut bulan Ramadan dengan penuh rasa keimanan dan ketakwaan serta mengambil peluang untuk mempertingkatkan amal ibadat.
"Rakyat dinasihatkan patuh kepada arahan dan saranan dikeluarkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antaranya terus kekal berada di rumah, mengamalkan pemakaian topeng muka, kerap mencuci tangan dan penjarakan sosial ketika berada di khalayak ramai," titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah hari ini.
Baginda juga mendoakan kepada seluruh rakyat Kedah agar sentiasa sabar dan tabah menghadapi ujian yang sedang dilalui ketika ini serta dijauhi daripada jangkitan wabak Covid-19.
Sementara itu, baginda telah memperkenan agar bayaran bantuan bulanan dan bantuan hari raya kepada golongan asnaf serta bantuan kepada guru agama oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) diawalkan demi membantu golongan ini membuat persiapan untuk menyambut bulan Ramadan serta Syawal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!