Banduan ingkar PKP buat Penjara Pengkalan Chepa makin sesak

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Kemasukan pesalah yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke Penjara Pengkalan Chepa di sini menyebabkan penjara yang sudah melebihi kapasiti ditetapkan itu semakin sesak.

Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Mat Yaacob berkata, seramai 41 banduan yang disabitkan dengan kesalahan PKP ditempatkan menyebabkan penjara dihuni 3,000 banduan pelbagai kesalahan itu menjadi semakin sesak.

“Apabila ada kemasukan banduan walaupun di musim PKP ini, maka ia akan menambah jumlah banduan yang berada di dalam penjara memandangkan kedudukan semasa penjara memang melebihi kapasiti yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, dalam situasi mengekang penularan Covid-19 ini, kita sentiasa melakukan sanitasi dan mengikut arahan ibu pejabat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi penyerahan 10 mesin jahit daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Kelantan kepada Penjara Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Penyerahan dilakukan Timbalan Pengerusi PBSM Kelantan, Dr Seri Buana Zainudin dalam majlis turut dihadiri Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Hanisa Hassan; Presiden Rotary Club Kota Bharu, Marcus Lee Yee Chung dan Presiden Elect, Sam Chin See Shim.

Wan Roslan (tiga, kiri), Mat dan Dr Seri Buana melihat mesin yang disumbangkan PBSM kepada Penjara Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Wan Roslan (tiga, kiri), Mat dan Dr Seri Buana melihat mesin yang disumbangkan PBSM kepada Penjara Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Sementara itu, Mat berkata, mesin jahit diperoleh hasil kerjasama penjara terbabit, UMK dan PBSM, malah setakat ini pihaknya sudah berjaya menghasilkan lebih 10,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) sejak 18 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

"PPE itu dijahit 40 banduan di penjara itu iaitu 21 banduan lelaki dan 19 banduan wanita dan dibantu sembilan kakitangan serta tenaga pengajar.

“Kami amat berbangga dapat membantu menjahit PPE ini untuk barisan hadapan, malah banduan yang terlibat juga cukup bersemangat sampai sanggup kerja lebih masa pada hari minggu dengan keizinan kami.

Menurutnya, buat masa ini sebanyak 350 hingga 500 PPE sehari dibekalkan dan diserahkan kepada PBSM untuk diagihkan.

"Insya-ALLAH, dengan adanya mesin baru ini nanti kita akan cuba penuhi permintaan yang semakin mendesak ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Sri Buana berkata, pihaknya menyalurkan PPE tersebut ke tiga lokasi utama termasuklah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Tumpat.

“Hari ini kita serahkan 10 buah mesin jahit untuk menampung keperluan mereka di penjara dan kita jangka akan tambah lagi jumlah mesin ini dari semasa ke semasa untuk capai sasaran pengeluaran lebih 1,000 PPE satu hari,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!