Bekas pesakit Covid-19 titip surat buat petugas perubatan
KUCHING - Seorang guru meluahkan perasaan terharu dan terima kasih kepada petugas perubatan selepas dirinya sembuh daripada jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) di sini.
Menerusi Astro Awani, guru dari Kota Samarahan itu dijangkiti Covid-19 pada usia 59 tahun dan mungkin berisiko tinggi untuk sembuh.
Menurutnya, pengalaman berada selama 23 hari di tiga pusat kuarantin yang berbeza itu bukanlah satu perkara yang indah untuk dikenang meskipun layanan terbaik diberikan ketika pemeriksaan serta rawatan.
Bagaimanapun, dia juga melihat sendiri setiap pengorbanan dilakukan petugas barisan hadapan sejak dimasukkan ke wad pesakit Covid-19 di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 23 Mac lalu.
Dia kemudian dipindahkan ke Pusat Saringan Kompleks Belia Sukan (KBS) dan ditempatkan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di Kuching sebelum dibenarkan pulang sebaik sahaja didapati benar-benar sembuh dari penyakit itu.
Ssepucuk surat ditinggalkannya untuk petugas barisan hadapan terutama kakitangan kesihatan yang mengharungi perang menentang wabak Covid-19.
Kandungan surat yang dititipkan bekas pesakit itu kepada petugas barisan hadapan.
"Assalamualaikum, Selamat Sejahtera,
Saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada frontliner kesihatan, doktor, pegawai kesihatan, jururawat, pengawal keselamatan yang bertugas di KBS.
Perkhidmatan yang sangat mulia dan tahap perkhidmatan yang cemerlang dicurahkan kepada ramai pesakit di KBS, segala keikhlasan ketabahan, keceriaan jelas terpancar di wajah tuan puan, saya sangat terharu dan amat menghormati tuan tuan semua. Tuan adalah antara yang terbaik.
Terima kasih atas segala bimbingan, nasihat, segala pengawasan kesihatan kami yang dijaga dengan rapi, makan minum disediakan, pakaian kami sering ditukar, kesihatan kami sentiasa dijaga, masalah dan permohonan kami juga dilayan dengan baik.
Hanya ALLAH yang dapat membalas budi dan jasa kalian. Saya mendoakan semoga kalian serta keluarga terus dilindungi daripada jangkitan virus dan sentiasa diberi kesihatan terbaik sepanjang masa. Amin sekian terima kasih”.
Penulisan yang biasa, tetapi mampu menusuk ke jiwa, mungkin wang ringgit bukan ukuran untuk membalas jasa dan pengorbanan mereka, tetapi dengan sedikit ucapan penghargaan cukup meredakan.
Dia yang disahkan bebas dari jangkitan Covid-19 pada 14 April lalu diberikan pelepasan untuk kembali ke rumah bersama keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!