Masyarakat mula adaptasi amalan 'new normal'

Hairina Abdul Ghani melihat anak-anaknya, Nurul Izzah Mohd Nasir,17 (dua,kanan), Nur Arissa Mohd Nasir,16 (kiri) dan Farah Ashikin Mohd Nasir, 13 (kanan) mengisi masa terluang dengan mengulang kaji pelajaran setelah arahan kekal di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terus dikuatkuasakan. - Foto Bernama
Hairina Abdul Ghani melihat anak-anaknya, Nurul Izzah Mohd Nasir,17 (dua,kanan), Nur Arissa Mohd Nasir,16 (kiri) dan Farah Ashikin Mohd Nasir, 13 (kanan) mengisi masa terluang dengan mengulang kaji pelajaran setelah arahan kekal di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terus dikuatkuasakan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semalam, genaplah 30 hari rakyat Malaysia menempuh dengan tabah cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lepas ekoran pandemik koronavirus (Covid-19).

Banyak perkara berubah 360 darjah antaranya kesibukan lalulintas dan orang ramai di tengah bandar tidak kelihatan, sekolah dan institusi pendidikan masih ditutup, hanya perkhidmatan penting dibenar beroperasi, dan ramai memanfaatkan peluang 'cuti' ini untuk berada bersama keluarga sepanjang masa; perkara yang selalu menjadi dambaan setiap masyarakat terutamanya di bandar besar sebelum ini.

Pada masa sama, persoalan mengenai bila tempoh PKP akan berakhir sering menjadi tanda tanya dan dinanti-nantikan terutama masyarakat beragama Islam yang akan menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi.

Kemeriahan membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan dan mengerjakan solat tarawih di masjid dan surau tidak dapat dijalani kali ini sebagai usaha menjaga kebaikan semua ketika penularan wabak Covid-19.

Namun persoalannya bagaimanakah PKP memberi kesan kepada kehidupan seharian, dari segi cara hidup dan kesihatan mental masyarakat setakat ini?

Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Fauziah Mohd Sa’ad ketika dihubungi Bernama berkata, rakyat Malaysia sedang mengadaptasi dan menyesuaikan diri mereka bagi menghadapi PKP.

"Sekarang, kita berhadapan dengan situasi yang sangat berbeza berbanding sebulan lepas dan termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan.

"Ia memang satu perubahan drastik, namun rakyat perlu berlapang dada dan menerima situasi ini, kerana ia bukan sahaja membabitkan nyawa seseorang, malah kita bertanggungjawab memutuskan semua rantaian Covid-19 dalam semua komuniti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jalan Dato Keramat iaitu antara jalan yang paling sibuk kini menjadi lengang berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 hari ini. - Foto Bernama
Jalan Dato Keramat iaitu antara jalan yang paling sibuk kini menjadi lengang berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 hari ini. - Foto Bernama

Beliau berkata, PKP ini juga dapat dilalui dengan baik sekiranya kita sentiasa berfikiran positif dan tidak membenarkan perasaan negatif menyusup masuk ke dalam fikiran kita.

“Kalau kita negatif, semua jadi negatif, sebab itu kes keganasan rumahtangga berlaku sebagai contohnya. Kalau berfikiran positif, kita dapat bina ‘good energy’ dalam mentaliti, seterusnya mengubah keadaan bosan atau stres ketika di rumah,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya seseorang itu melakukan pelbagai aktiviti dalam masa terluang kini untuk mengelakkan rutin sama saban hari.

Pakar Psikologi Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Profesor Datin Dr Mariani Md Nor berkata, PKP dilihat sebagai satu rahmat kerana ia turut membawa banyak kebaikan.

Katanya, isu Covid-19 dalam negara secara amnya telah mendisiplinkan rakyat Malaysia, di samping mewujudkan persekitaran muafakat bersama keluarga.

“Kalau dulu malas nak basuh tangan, sekarang automatik jadi rutin, dapat eratkan hubungan kekeluargaan, makan sama-sama dan melakukan aktiviti santai, lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadan, banyak aktiviti agama dapat dilakukan.

“Jadi dalam keadaan (PKP) sekarang, kalau tidak pandai mengkreatifkan suasana yang membosankan, individu terbabit akan menjadi terlalu bosan, yang boleh menyebabkan stres seterusnya menjejaskan kesihatan mental,” katanya.

Mengenai bulan Ramadan, beliau berkata, waktu PKP juga boleh dimanfaatkan sepenuhnya bagi aktiviti masakan dengan melibatkan anak memandangkan ketiadaan bazar Ramadan tahun ini selain solat terawih bersama-sama ahli keluarga.

PKP dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadan, banyak aktiviti agama dapat dilakukan bersama.
PKP dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadan, banyak aktiviti agama dapat dilakukan bersama.

Sementara itu, seorang guru yang hanya mahu dikenali sebagai Rani, 28, berkata, waktu PKP digunakannya sebaik mungkin untuk mengamalkan kehidupan sihat dengan aktiviti memasak dan bersenam di rumah.

“Sebelum PKP, berat badan saya bertambah dan ketika ini, berat saya telah turun lebih dua kilo kerana saya mempunyai lebih masa untuk work out di rumah, tidak seperti sebelum ini, saya perlu mencari masa sesuai untuk melakukan aktiviti senaman,” katanya yang berasal dari Johor.

Beliau berkata, PKP juga tidak membantutkan tugasnya kerana terikat dengan pembelajaran dalam talian, dan ia digunakan sebaik mungkin agar anak muridnya tidak tercicir dalam pelajaran.

Tinjauan dalam laman sosial pula mendapati rata-rata warganet telah dapat menerima PKP dengan sebaiknya dengan masa lapang diisi dengan bercucuk tanam di keliling rumah, memasak resepi baharu, tidak kurang ada yang berniaga dalam talian.

Satu ‘group’ masakan di Facebook iaitu ‘Daily Homecook Meal’ turut menganjurkan pertandingan memasak menggunakan jenama tertentu dan ahli kumpulan perlu mengasah bakat memasak menggunakan jenama itu dengan kreatif bagi memenangi pertandingan.

Natijahnya, PKP ini lebih banyak membawa kebaikan berbanding keburukan jika dilihat dari sudut positif.

Diharap kerjasama seluruh warga Malaysia yang berusaha memutuskan rantaian Covid-19 dalam negara membuahkan hasil hingga bebas wabak Covid-19 dan negara kembali seperti biasa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!