Kawalan udara elak Covid-19

A
A
A

ADA meramalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan berlanjutan sehingga Jun. Namun, penulis lebih prihatin kepada pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang mendedah virus pandemik Coronavirus 2019 (Covid-19) mampu terbang sehingga 4 meter.

Jika ini berlaku, sistem pengudaraan yang mengandungi virus Covid-19 kemungkinan ada pada di tempat tertutup termasuk pejabat, pusat pengajian tinggi, sekolah, pasaraya dan hotel.

Pada akhir 2019, bilangan penduduk bekerja di negara ini meningkat kepada 68.6 peratus atau hampir 15 juta mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia. Ini membawa konotasi, 50 peratus penduduk Malaysia menghabis masa 8 jam terdedah kepada pengudaraan dalam kawasan tertutup. Selama ini pun, kita tidak pernah terfikir adakah kita bebas jangkitan virus menerusi udara.

Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah mengeluar kertas kerja bertajuk ‘Covid-19 Outbreak Associated with Air-Conditioning in Restaurant, Guangzhou, China’ melaporkan 10 orang daripada tiga keluarga dijangkiti virus Covid-19 selepas makan di sebuah restoran di Guangzhou, China pada hari berbeza. Kajian CDC membuktikan penghantaran wabak virus Covid-19 menjangkit kepada seseorang melalui transmisi titisan udara sistem pendingin hawa.

Di Eropah, Federation of European Heating, Ventilation and Air Conditioning Associations (REHVA) mengubal dokumen panduan Standard Operating Procedure (SOP) tentang cara mengendali dan menyelenggara bangunan bagi mencegah penyebaran kerana virus memanipulasi kelemahan sistem pemanas, pengudaraan dan pendingin hawa atau ‘heating, ventilation and air conditioning’ (HVAC) dan sistem saluran paip.

Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994, majikan dan pemilik bangunan di Malaysiaperlu memasti tempat bekerja selamat kepada pekerja atau penghuni. Kod amalan Industry Code of Practice on Indoor Air Quality 2010 memastikan tahap pendedahan kepada kimia, biologikal dan kesesuaian parameter fizikal seperti suhu serta kelembapan relatif segera dikenalpasti.

Kenapa kepentingan kelembapan udara atau relative humidity (RH) jadi pemerhatian? Pernahkah kita terfikir apakah kandungan udara pendingin hawa?

Sahabat penulis, Ir Arul Hisham, jurutera profesional dan pakar sistem tenaga pengudaraan berpengalaman hampir 40 tahun dalam bidang sistem pendingin hawa dan pusat penyejukan berpusat mendedahkan fungsi sistem pendingin hawa bukan sekadar menyalur udara dingin RH, bahkan membekal oksigen dan sekaligus menapis segala habuk, bau dan patogen atau apa sahaja benda boleh menyebabkan penyakit berjangkit seperti bakteria, protozoa, kulat, virus serta mikro-organisma terkandung dalam udara luar dan memasuki ruangan pejabat atau kawasan tertutup.

Artikel Berkaitan:

Suhu

Jurutera mereka bentuk sistem pendingin hawa berpandukan piawaian American Society of Heating, Refrigeration and Air-conditioning Engineers (ASHRAE) dan disesuaikan kepada iklim Malaysia. Berpandukan kepada Carta Psychrometrik yang terkandung dalam piawaian tersebut mencatatkan cuaca bersuhu antara 23 dan 25 selsius perlu RH antara 50 dan 70 peratus.

Ir Arul menceritakan pengalaman menjalankan audit di beberapa bangunan di Malaysia dan mendapati sistem pendingin hawa tidak mencapai piawaian ditetapkan. Ada tompokan kehitam-hitaman pada corong udara pendingin hawa dingin indikasi pertumbuhan fungus. Bahkan ada kawasan berhawa dingin mempunyai kelembapan relatif sehingga 80 peratus walaupun suhu selesa.

Pakar perubatan dan senibina Amerika Syarikat, Dr Stephanie Taylor mendedahkan kajian beliau 10 tahun dahulu mendapati virus dapat dihapuskan daripada permukaan udara apabila RH dikawal antara 40-60 peratus. Virus menganas, beracun dan menjangkit jika RH dikawal di bawah paras 40 peratus dan di atas paras 60 peratus.

ALLAH SWT telah memberi amaran tentang perkara ini menerusi Surah Ali ‘Imran [3:117] bermaksud, “Perumpamaan harta yang mereka nafkahkan di dalam kehidupan dunia ini, adalah seperti perumpamaan angin (udara) yang mengandung hawa yang sangat dingin, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri sendiri, lalu angin itu merosaknya. ALLAH tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.”

Sesuai pesan Dr Noor Hisham, penulis percaya cara mengelak penularan pandemik Covid-19 boleh dilakukan dengan mengawal tempat tertutup iaitu kembali kepada pengudaraan natural dengan tahap kelembapan relatif sesuai asal kejadian.

Justeru, jurutera perlu melengkap diri dengan pengetahuan teknikal bagi mencegah penyebaran Covid-19 menerusi udara. Covid-19 juga harus dilihat sebagai ilmu terbaharu untuk dikaji kerana virus ini belum pernah dikesan sebelum ini.

* Prof Madya Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!