Cabaran Muslim depani Covid-19

A
A
A

TAK semena-mena tiba-tiba suatu perkembangan negatif sedang berlaku yang dihala ke arah kaum Muslim di tengah-tengah wabak pandemik Covid-19 menular. Sedang dunia bergelut membendung wabak itu, muncul sekumpulan puak yang sudah lama menyimpan kebencian ke atas Islam dan Muslimin sedang meraih kesempatan.

Di barat kumpulan ini digelar golongan kanan esktrem (far right). Melalui sejumlah tapak sesawang, suatu kempen menanam ketakutan dalam kalangan orang awam terhadap Islam sedang dilancarkan.

Teori konspirasi diasak kedalam media sosial untuk memburuk dan memberi maklumat dan analisis palsu terhadap kaum Muslimin. Agendanya jelas. Islamofobia menjadi kempen utamanya iaitu menakut-nakutkan dunia terhadap Islam.

Siasatan polis menangani keganasan di UK katanya sedang berjalan. Kumpulan ini sejak beberapa minggu yang lalu didapati menyebar sentimen membenci Muslim dengan cara menjadikan wabak Covid-19 sebagai senjata kebencian.

Di AS pula sesawang golongan kanan ini menyebarkan propaganda anti Muslim secara atas talian dan mempromosi teori konspirasi yang palsu. Mereka menuduh gereja dilarang berfungsi ketika pandemik, namun masjid dibenarkan dibuka untuk masyarakat Islam melaksanakan solat.

Lebih esktrem, di India, seluruh populasi Muslim dikambinghitamkan dengan dakwaan kaum Muslim sedang dengan sengaja menyebarkan virus melalui 'jihad-korona'.

Dengan demikian merekacipta kepalsuan menjadi strategi paling berjaya untuk menyebarkan berita yang mencetuskan kebencian kepada pendatang dari luar (exenophobia) dan rasa takut kepada Islam (Islamophobia) sebelum wabak korona bermula lagi.

Mereka memaparkan statistik palsu mengenai jangkitan virus untuk menyalahkan Muslim sebagai punca krisis yang kini berlaku. Maklumat palsu dan kata-kata kebencian kepada Islam dan Muslim mudah tersebar ketika orang awam berada di rumah yang sentiasa melihat maklumat dari media sosial.

Artikel Berkaitan:

Wabak koronavirus ini dijadikan alasan dan kesempatan untuk menyebarkan sentimen rasis dan kebencian kepada pendatang dari luar.

Senario di India, menjelaskan tren ini. Hashtag kebencian terhadap Muslim merebak setelah rusuhan di kota New Delhi pada Februari tercetus apabila calon BJP (parti pemerintah ) kalah dalam pilihanraya di ibu kota India itu.

Puak fanatik nasionalis Hindu yang merupakan penyokong kuat BJP telah merusuh dan menyasarkan kaum Muslim yang mengakibatkan 50 orang mati dan ratusan tercedera. Muslim minoriti telah digambarkan sebagai penjahat (demonized) dan kempen Islamofobia menjadi lebih ganas.

Sebenarnya kerajaan BJP bertindak lambat untuk menangani virus korona tersebut. Pada awal berita wabak itu pertama menjangkiti India, menteri kerajaan mengatakan ia bukan isu besar di India.

Perdana Menteri Narendra Modi pula sibuk dengan acara menyambut Presiden Donald Trump dan selepas itu melakukan kempen besar-besar menghimpun penyokongnya dalam pilihan raya New Delhi. Padahal wabak itu sedang memuncak di China ketika itu. WHO pun sudah mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik iaitu wabak merentas seluruh dunia.

Modi mengumumkan perintah larangan keluar rumah dan menutup seluruh premis di India hanya setelah wabak sudah mula menular. Modi tidak mendedahkan dalam suasana itu India masih mengeksport alat pelindung kesihatan keluar negara, pada hal kesihatan rakyat India sepatutnya diutamakan dahulu.

Anehnya rakyat India diminta berada di beranda rumah untuk bersorak menyambut arahan kerajaan. Akan tetapi ramai yang keluar rumah menyambutnya bagai suatu pesta. Penjarakan sosial tidak dipedulikan sama sekali.

Sebaliknya pihak kerajaan mengaitkan wabak itu bermula dengan perhimpunan Jamaat Tabligh di Nizamuddin. Ahli politik India dengan segera menuduh masyarakat Muslim sebagai punca penularan wabak itu apabila jangkitan mula mencecah ribuan rakyat di India.

Padahal ramai Muslim membantah perhimpunan Tabligh itu dan mendesak mereka patuh kepada arahan penjarakan sosial. Namun masyarakat Muslim tetap dituding secara khusus sebagai punca wabak. Seorang Menteri Kabinet India malah menuding Jamaat Tabligh sengaja melakukan perhimpunan itu dan ia digelar sebagai melakukan "jenayah Taliban".

Tuduhan itu tidak berhenti disitu. Barita palsu disebar mengatakan ahli Tabligh sengaja meludah polis dan orang awam bukan Islam untuk menyebar virus korona. Suatu kepalsuan sangat menjijikkan. Mereka menyebarkan berita palsu ini sebagai 'jihad-korona' atau 'jihad-bio'. Gambar kartun yang memaparkan Muslim dengan wajah jahat menyebar virus korona dengan sengaja dilukis untuk mencetuskan kebencian kepada masyarakat Islam.

Kempen xenophobia tersebar diatas talian. Hashtag #coronajihad diguna hampir 300,000 kali antara 29 Mac dan 3 April, terutama di India dan AS mengikut laporan sebuah badan hak manusia digital Asia Selatan bertapak di AS iaitu Equality Labs. Ia melaporkan lagi bahawa ia mengesan ratusan hashtag anti Muslim, kebanyakannya memaparkan Muslim sebagai pengembom berani mati yang mengikat badan dengan "bom virus" dan mengguna istilah seperti ”#IslamicVirus, #BioJihad, dan #MuslimVirus.”

Penyebaran sikap benci (memes) dan khabar angin ini telah mengakibat Muslim berada dalam keadaan bahaya. Suatu kes dilaporkan seorang Muslim membunuh diri di sebuah desa akibat dipulau oleh masyarakatnya kerana disangka pembawa Covid-19 setelah menyentuh seorang ahli Tabligh yang positif koronavirus. Peniaga Muslim yang menjual buah dipaksa menutup perniagaannya di Haldwani, sebuah kota yang terkenal dengan jualan buah-buahan.

Sementara itu di UK, puak nasionalis mengguna media sosial dan menuduh bahawa masyarakat Islam melanggar perintah dan tidak patuh kepada peraturan penjarakan sosial. Mereka mengguna gambar dan siaran lama kaum Muslim bersolat di Masjid sebelum arahan larangan keluar rumah (lockdown ) diisytiharkan.

Ditambah lagi mereka mencipta maklumat palsu mengatakan di UK "25 peratus kes koronavirus adalah Muslim" kerana mereka "tidak patuh kepada pengasingan kendiri." Suatu fakta yang tidak berdasarkan bukti yang kukuh.

Taktik yang sama diguna di AS. Mereka mendakwa arahan akan ditarik balik untuk kaum Muslim menyambut Ramadan untuk membolehkan mereka berhimpun di masjid,sedangkan komuniti agama lain tidak dibenarkan berhimpun di gereja seperti sambutan Easter.

Kini kaum Muslimin terpaksa berdepan dengan cabaran Islamofobia dan exenofobia akibat media sosial yang dikawal oleh syarikat besar seperti Facebook dan Twitter.

Syarikat ini membiarkan kempen kebencian menggunakan pelantar mereka dalam keadaan wabak pandemik Covid-19 sedang menular. CEO kedua-dua syarikat ini yang meraih keuntungan berbilion dolar tidak mempedulikan tanggungjawab sosial supaya golongan esktremis anti Muslim tidak mengguna pelantar tersebut dalam media sosial yang boleh mencetuskan sentimen rasis, anti agama dan ketegangan sosial.

*Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!