Pelaksanaan kaedah baharu peperiksaan diharap lebih baik
SHAH ALAM – Satu kaedah baharu yang bukan tertumpu pada akademik semata-mata perlu diwujudkan bagi menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dibatalkan tahun ini.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, pihaknya berharap kaedah baharu itu akan memberi cahaya yang lebih baik kepada pelajar terutama di luar bandar.
“Ini memandangkan ada dalam kalangan mereka yang barangkali daripada golongan berpendapatan rendah dan golongan miskin serta memerlukan bantuan.
“Mungkin ada dalam kalangan mereka ialah golongan berpendapatan rendah dan golongan miskin serta memerlukan bantuan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Mohamad Ali berkata, PIBGN turut menyambut baik penekanan yang diberikan KPM setelah berbincang dengan pelbagai pihak terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Paling penting adalah utamakan soal keselamatan, kesihatan, kesejahteraan, kebersihan dan juga kesiapsiagaan murid dan pelajar untuk memulakan sesi persekolahan.
“PIBGN juga berasakan sangat sesuai dan munasabah soal penundaan tarikh peperiksaan awam terutama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan memberi keutamaan kepada pelajar tingkatan lima dan enam atas apabila bermulanya sesi pembelajaran yang akan diumumkan,” katanya.
Dalam pada itu, PIBGN meminta KPM memaklumkan lebih awal jika terdapat sebarang perubahan pada takwim sesi persekolahan.
“Selain itu, kita juga menunggu garis panduan selepas PKP yang akan dijalankan dan kita harap garis panduan ini dapat dipatuhi sebaik mungkin,” katanya.
ARTIKE BERKAITAN: UPSR, PT3 tahun ini dibatalkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!