Kes Covid-19 di Singapura naik mendadak 1,175 dalam dua hari

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) semalam melaporkan 728 kes positif Covid-19 setelah merekodkan 447 kes sehari sebelum itu. Foto AFP
Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) semalam melaporkan 728 kes positif Covid-19 setelah merekodkan 447 kes sehari sebelum itu. Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Kes-kes jangkitan Covid-19 meningkat mendadak di Singapura sejak dua hari lalu apabila Kementerian Kesihatan semalam melaporkan 728 kes positif Covid-19 setelah merekodkan 447 kes sehari sebelum itu.

Ini bermakna dalam dua hari sahaja Singapura mencatatkan pertambahan sebanyak 1,175 kes dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 di republik ini melonjak kepada 4,427 kes.

Bagaimanapun, sebahagian besar kes yang dilaporkan semalam, iaitu sebanyak 81 peratus (654 kes), dikenal pasti sebagai kluster asrama pekerja asing manakala 26 kes baharu melibatkan rakyat asing pemegang permit kerja yang tinggal di luar asrama.

Sebanyak 48 kes lain yang dilaporkan merupakan kes-kes jangkitan dalam kalangan penduduk tempatan, lapor portal berita Channel News Asia.

Singapura mempunyai populasi sebanyak 5.7 juta orang termasuk 1.7 juta pekerja asing.

Negara ini melaporkan kes pertama Covid-19 pada 23 Januari 2020.

Pada 3 April, pemerintah mengumumkan satu set langkah-langkah pencegahan ‘pemutus litar’ untuk membendung wabak itu yang bermula di Wuhan, China sejak November 2019.

Pandemik itu telah menjangkiti 2.2 juta orang di 185 negara di seluruh dunia dengan 142,700 kematian dan jumlah korban di Singapura hanya 10 orang setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Akhbar Berita Harian Singapura melaporkan, Kementerian Kesihatan juga telah mengenal pasti lima kluster jangkitan baharu, empat merupakan asrama di 23 Kaki Bukit Road 3, 180 Woodlands Industrial Park E5, 34 Mandai Estate dan 17 Sungei Kadut Street 4.

Baki satu kluster jangkitan adalah bangunan Grandwork Building di 7, Sungei Kadut Street 3. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!