Gagal lapor kemalangan, syarikat didenda
IPOH - Sebuah syarikat pembuatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas pertuduhan gagal melaporkan kes kemalangan hilang upaya kekal di tempat kerja kepada Jabatan Keselamatan Kesihatan dan Pekerjaan (JKKP) Perak.
Menurut fakta kes, kejadian tersebut berlaku pada 27 November 2017 semasa pekerjanya sedang melaraskan mesin cetakan acuan di dalam kilang LT Link Technology Aluminium Sdn Bhd.
Kemalangan itu telah menyebabkan seorang pekerjanya mengalami kecederaan serius iaitu putus hampir satu ruas jari tengah tangan kanan dan mendapat cuti sakit selama 66 hari.
Syarikat LT Link Technology Aluminium Sdn Bhd dituduh di bawah Peraturan 5(1)(b)(bb), Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) 2004, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Ketika pertuduhan dibacakan, wakil syarikat LT Link Technology Aluminium Sdn Bhd sebagai majikan mengaku bersalah di hadapan Majistret Nabihah Mohd Noor dan dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau 3 bulan penjara jika gagal bayar.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa JKKP Perak, Mudzaffar Anwar Hussin.
Sementara itu, Pengarah JKKP Perak, Ir Zamzurin Maarof dalam kenyataannya berkata, semua majikan di tempat kerja diingatkan supaya melaporkan kes kemalangan pekerja yang mendapat cuti sakit melebihi empat hari kepada JKKP ini dalam tempoh masa tujuh hari dari tarikh kemalangan berlaku.
Menurutnya, bagi kes kemalangan maut dan kecederaan badan yang serius pula perlu dilaporkan ke pejabat JKKP terdekat dengan serta merta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!