Jangan buat pembelian panik!
PASIR MAS - Orang ramai khususnya di sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang dinasihatkan tidak membuat pembelian panik kerana bekalan barangan keperluan harian mencukupi menjelang Ramadan Jumaat depan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Pasir Mas, Suhaimi Abas berkata, pemantauan mendapati barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum juga mencukupi.
“Jadi tiada keperluan untuk orang ramai membuat pembelian panik. Jadi berbelanjalah mengikut keperluan semasa keluarga masing-masing,” katanya.
Terdahulu, KPDNHEP Pasir Mas melakukan tinjauan di beberapa pasar raya utama sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang.
Menurutnya, rondaan berkala turut dijalankan bagi memastikan tiada berlaku kenaikan harga barangan yang boleh mencetuskan rasa panik dalam kalangan masyarakat.
Katanya, KPDNHEP tidak akan berkompromi jika ada peniaga yang menaikkan harga barangan sesuka hati sepanjang tempoh PKP.
Suhaimi berkata,KPDNHEP Pasir Mas juga sentiasa bekerjasama dengan agensi lain terutaman Kawalselia Padi dan Beras, Jabatan Veterinar, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi memastikan bekalan asas mencukupi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!