Costa Coffee Malaysia sumbang wang tunai, makanan
SHAH ALAM - Krisis wabak koronavirus (Covid-19) terus membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan Costa Coffee Malaysia juga tidak terkecuali untuk menyumbang kepada mereka yang memerlukan.
Menurut Costa Coffee Malaysia, wang tunai sebanyak RM6,000 dikumpulkan oleh warga kerjanya sendiri dan disumbangkan kepada Mercy Malaysia.
Sumbangan itu katanya, bagi membantu Mercy Malaysia yang sedang mengumpul dana untuk membeli peralatan bagi memastikan bekalan makanan keperluan mencukupi untuk komuniti-komuniti yang menghadapi masalah mendapatkan bekalan makanan.
"Di samping itu, Costa Coffee dan warga kerjanya juga turut menyumbang makanan untuk gelandangan melalui Kechara Soup Kitchen.
"Inisiatif yang dilakukan ini adalah kerana memahami masalah yang dihadapi oleh gelandangan dan cabaran mencari makanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sumbangan makanan juga turut dihantar kepada pasukan perubatan di tiga buah hospital iaitu Hospital Sungai Buloh, University Malaya Specialist Centre dan juga Pusat Perubatan Universiti Malaya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Costa Coffee yang bernaung di bawah Master Franchisee Gapurna Permai Sdn Bhd ini menambah, usaha yang dilakukan adalah sejajar dengan misi syarikat, komited dalam menyokong para pelanggan dan komuniti.
"Sumbangan ini diharapkan dapat membantu bukan sahaja kakitangan penjagaan kesihatan, frontliner dan pasukan perubatan di hospital, tetapi juga masyarakat yang memerlukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!