Pulau Pinang perlu tingkat usaha bawa masuk pelabur
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang perlu meningkatkan usaha memperkasa serta menggalakkan pelaburan tempatan dan luar negara ke negeri ini bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abas berkata, kerajaan negeri perlu berusaha untuk membawa masuk sama ada pelaburan baharu atau pelaburan semula ke Pulau Pinang susulan kesan penularan wabak Covid-19.
"2019 merupakan tahun yang memberangsangkan bagi Pulau Pinang dari segi pelaburan. Bagaimanapun, kerajaan negeri perlu beri perhatian kepada pandemik Covid-19 dan kesannya terhadap pelaburan dan rantaian pembekalan global.
"Berdasarkan pengumuman korporat, kebanyakan syarikat dijangka menghadapi pertumbuhan yang perlahan dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2020.
"Kebanyakan syarikat di Pulau Pinang secara langsung atau tidak langsung terkesan dari segi rantaian pembekalan," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Pertama Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang di sini tadi.
Menurutnya, industri pelancongan bagi tahun ini turut dijangka menerima impak besar daripada Covid-19.
Sehubungan itu, beliau berkata, Pelan Tindakan Pemulihan Pelancongan bagi jangka masa pendek dan panjang yang dirangka kerajaan negeri melalui Penang Global Tourism (PGT) perlu mengambil kira semua perkara agar dapat meningkatkan kembali pertumbuhan industri pelancongan Pulau Pinang.
"Lazimnya, penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pulau Pinang adalah sektor pembuatan dan perkhidmatan.
"Namun, sektor pertanian juga memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan ekonomi negeri. Kerajaan negeri perlu membantu dan memberi dorongan kepada peladang, penternak dan nelayan terutamanya dalam menghasilkan produk tertumpu selain berusaha mencapai 100 peratus tahap sara diri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!