Wajib sanitasi kedai di Kuala Pilah tiga kali seminggu

Gambar kecil: Mohd Faizal Abdul Manap
Gambar kecil: Mohd Faizal Abdul Manap
A
A
A

KUALA PILAH - Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) mewajibkan semua premis perniagaan di bawah pentadbirannya yang dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjalankan operasi sanitasi secara berkala tiga kali seminggu mulai hari ini.

Yang Dipertua MDKP, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, arahan itu dikuatkuasakan sehingga tamat PKP bagi memastikan premis sentiasa berada dalam keadaan selamat bagi mengelakkan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

“Pemilik premis juga diwajibkan menyediakan cecair pembasmi kuman, termometer bagi mengukur suhu badan serta garisan berukuran 1 meter bagi tujuan penjarakkan sosial seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Mohd Faizal berkata, MDKP ]membuat ketetapan formula campuran bahan sanitasi yang digunakan agar kerja-kerja sanitasi berkesan selain memudahkan pemilik premis menyediakan cecair semburan.

"Bagi sanitasi di bahagian dalam premis, nisbah bahan yang digunakan adalah 1liter clorox dicampur dengan 49 liter air bersih atau 500ml Clorox dicampur dengan 24 liter air bersih atau 250 mililiter clorox dicampur dengan 12 liter air bersih.

“Di bahagian luar premis pula, 1liter clorox dicampur dengan 10 liter air bersih atau 500ml clorox dicampur dengan 5 liter air bersih atau 250ml clorox dicampur dengan 250ml air bersih,” katanya.

Mohd Faizal turut mengingatkan semua pemilik premis atau penyewa diwajibkan mematuhi arahan yang dikuatkuasakan dan sekiranya gagal MDKP tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.

"Kami membuat hebahan maklumat di laman Facebook rasmi MDKP atau boleh berhubung dengan MDKP untuk sebarang pertanyaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!