Siasat dakwaan cubaan pencerobohan etnik Rohingya
ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Mohd Firdaus Ahmad menggesa pihak berwajib menyiasat dakwaan Persatuan Rohingya Kedah/Perlis bahawa 500 orang etnik itu terpaksa berpatah balik ke Bangladesh selepas tidak dapat masuk perairan negara.
Mohd Firdaus berkata, kumpulan berkenaan dikatakan datang bersama etnik Rohingya yang memasuki Langkawi pada 4 Februari lepas, namun bertindak berpatah semula berikutan bimbang ditahan.
Katanya, pihaknya kesal dengan pencerobohan masuk etnik Rohingya di perairan Langkawi, sekali gus memohon penguatkuasaan di laut ditingkatkan agensi berkenaan agar ia tidak mudah dibolosi.
"Bagaimana sebuah bot tersebut tidak dapat dikesan hingga dapat mendarat di perairan kita, malah ada bot lain dikatakan berpatah balik. Bayangkan yang masuk bukan Rohingya tetapi pengganas dilengkapi senjata.
"Jadi, kita harap pihak berkuasa dapat jalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan dan bagaimana mereka tahu ada bot berpatah balik, ada orang maut sebagainya demi memastikan isu itu tidak berulang," katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah portal berhubung ratusan etnik Rohingya berpatah balik sebelum mati dalam pelayaran selepas tidak dapat memasuki perairan negara.
Beliau berkata, cubaan memasuki perairan negara oleh etnik terbabit bukanlah kejadian pertama, sekali gus diharapkan kawalan dan keselamatan ditingkatkan demi memastikan perairan tidak dibolosi.
Pada 4 April lepas, sebuah bot membawa 202 penumpang dipercayai etnik Rohingya ditahan di kedudukan 1.2 batu nautika barat daya Pantai Peranginan Resort Ritz-Carlthon.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!