Empat ADUN di Maran kongsi tanggung kos makanan 'frontliners'

Shahaniza (tengah) bersama Shahril (depan, kanan), Mujibur (belakang, dua dari kiri) dan Mohd Sofian (belakang, dua dari kanan) bersama Shahrudin (depan, kiri).
Shahaniza (tengah) bersama Shahril (depan, kanan), Mujibur (belakang, dua dari kiri) dan Mohd Sofian (belakang, dua dari kanan) bersama Shahrudin (depan, kiri).
A
A
A

MARAN - Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas dan UMNO di sini berganding bahu berkongsi menanggung kos perbelanjaan makanan untuk disumbangkan kepada kira-kira 500 petugas barisan hadapan di daerah ini.

Mereka adalah ADUN Kuala Sentul,Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; ADUN Chenor, Mujibur Rahman Ishak; ADUN Luit, Mohd Sofian Abd Jalil dan ADUN Jengka, Shahril Azman Abd Halim.

Shahaniza berkata, sebanyak RM20,000 diperlukan bagi menampung kos berkenaan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga bermula 15 April hingga 28 April ini.

"Ini bukti dan hasil Muafakat Nasional ADUN UMNO dan Pas berganding bahu dalam situasi sebegini.

"Sumbangan ini telah diserahkan kepada Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Maran, Shahrudin Jali semalam untuk dikendalikan," katanya kepada Sinar Harian.

Shahaniza yang juga Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang memberitahu, pada PKP fasa satu dan dua, kos perbelanjaan makanan ditampung menerusi pelbagai inisiatif.

"PKP fasa satu UMNO Bahagian Maran bekerjasama dengan Kelab Mawaddah untuk menaja makan tengah hari petugas hadapan di klinik-klinik kesihatan daerah ini dengan kos melebihi RM10,000.

"Seterusnya, PKP fasa kedua, PKOB Maran memasak sendiri makanan untuk menjimatkan kos dan bertuah kerana Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail setuju menyumbang RM15,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!