MBIP keluarkan 31 notis henti niaga serta-merta
![Salehuddin Hassan](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2020/04/17/684567.jpg)
ISKANDAR PUTERI - Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengeluarkan 31 notis henti niaga serta-merta kepada peniaga yang gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu sehingga kelmarin.
Datuk Bandar Iskandar Puteri, Salehuddin Hassan berkata, tindakan tersebut dilakukan selepas pemeriksaan terhadap 3,168 premis yang beroperasi sepanjang tempoh berkenaan.
"Hasil pemantauan ketika ini, lebih 98 peratus premis perniagaan mematuhi arahan PKP. Secara keseluruhan terdapat 41,523 premis dalam kawasan Iskandar Puteri.
"MBIP akan memastikan semua premis mematuhi arahan waktu operasi perniagaan seperti yang ditetapkan dalam tempoh," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, notis pemberitahuan waktu operasi yang terkini sudah diedarkan kepada semua premis dalam kawasan MBIP bagi memastikan penyampaian maklumat tepat dan sahih selain menggunakan media sosial untuk tujuan itu.
"Ketika ini banyak maklumat yang kurang tepat dan palsu dikeluarkan di media sosial yang mengelirukan masyarakat," katanya.
Dalam pada itu,katanya, anggota penguat kuasa dan petugas kesihatan melakukan pemantauan setiap hari di semua premis perniagaan seperti restoran, kedai, pasar raya, kilang, stesen minyak, klinik, pasar dan penjaja di daerah ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!