Keluar melepak dengan kawan hingga sanggup ingkar PKP
KUALA KUBU BHARU - Seramai 12 pemuda didenda RM1,000 setiap seorang atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua hari lalu.
Kesemua tertuduh dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dewasa berusia antara 21 hingga 35 tahun didapati gagal mematuhi peraturan tanpa alasan munasabah dengan berada di luar rumah ketika PKP dikuatkuasakan.
Tiga daripada tertuduh itu juga, didakwa berada di hadapan sebuah pangsapuri di Bukit Beruntung, gagal mengemukakan alasan munasabah untuk berada di luar rumah tanpa kebenaran, pada jam 12.10 tengah malam, 15 April lalu.
Sementara seorang tertuduh lain ditahan di Jalan Kampung Seri Geriang, mengaku dalam perjalanan pulang ke rumah selepas melepak dengan rakan pada jam 2.05 pagi.
Enam lagi tertuduh ditahan kerana berhimpun dan bersembang di depan bengkel motosikal di Bukit Beruntung pada jam 3 pagi, hari yang sama.
Sementara dua lagi pemuda menggunakan alasan mahu mencari makanan sedangkan kedai makan ditutup jam 8 malam selain keluar melebihi 15 kilometer dari kediamannya.
Bagi pendakwaan itu, tiga daripada kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara sembilan lagi tertuduh didakwa mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut peraturan 11 (1) peraturan sama, memperuntukkan denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zulhaini Muhamad Amin manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Zulhaini memohon agar hukuman berbentuk pengajaran diberi kepada kesemua tertuduh, namun pemuda-pemuda itu memohon agar hukuman dapat dikurangkan kerana kurang berkemampuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!