Serangan jantung ketika tunggang motosikal
BENTONG - Seorang lelaki maut akibat serangan jantung ketika sedang menunggang motosikal di Jalan Ah Peng di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusof Unis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.10 pagi itu mangsa, Wong Phak Khow, 48, dari Taman Bentong Makmur sedang menunggang motosikal di Jalan Ah Peng berhampiran sebuah pasar raya di sini.
"Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah terjatuh daripada motosikal ditungganginya itu.
"Mangsa yang juga penganggur itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Menurutnya, hasil bedah siasat di Hospital Bentong mendapati mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!