Pusat latihan skuasy penuhi spesifikasi antarabangsa

Chee Keong (dua, kiri) dan Mohd Asmirul (tiga, kiri) mendengar taklimat berkaitan pembinaan pusat latihan skuasy.
Chee Keong (dua, kiri) dan Mohd Asmirul (tiga, kiri) mendengar taklimat berkaitan pembinaan pusat latihan skuasy.
A
A
A

ALOR SETAR - Pusat latihan skuasy baharu di Stadium Sultan Abdul Halim dijangka dapat memenuhi keperluan penganjuran kejohanan peringkat antarabangsa apabila siap kelak.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, pusat itu dibina mengikut spesifikasi bagi membolehkan Kedah menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Menurutnya, walaupun kos pembinaan mencecah RM7.2 juta, pihaknya yakin akan memberi pulangan terbaik dalam melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan itu.

“Saya yakin pusat skuasy pertama di Kedah ini akan melahirkan lebih ramai atlet negara yang berjaya di peringkat antarabangsa, selain dijadikan tempat mencungkil pemain pelapis,” katanya, ketika ditemui, selepas meninjau pembinaan pusat latihan skuasy baharu itu di Suka Menanti.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris.

Chee Keong (tiga, kiri) meninjau tapak pembinaan pusat latihan skuasy baharu.
Chee Keong (tiga, kiri) meninjau tapak pembinaan pusat latihan skuasy baharu.

Chee Keong berkata, dengan adanya pusat latihan ini, program pembangunan sukan skuasy dapat diperluaskan ke peringkat akar umbi.

“Perlu diadakan lebih banyak program cungkil bakat, kita akan bekerjasama dengan pihak sekolah serta Majlis Sukan Negeri (MSN),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, KBS akan memberi tumpuan kepada penyediaan atlet untuk sukan berprestasi tinggi seperti skuasy serta sukan yang dipertandingkan di peringkat Olimpik, dengan peruntukan RM100 juta bawah bajet 2019, selain peruntukan perbelanjaan mengurus RM88 juta kepada MSN.

“Dengan adanya tambahan bajet ini, termasuk komitmen pegawai sukan dan atlet, kita yakin mampu capai sasaran dan berada di landasan yang betul,” katanya.

Chee Keong berkata, modul pengkhususan sukan bertumpu kepada potensi meraih pingat serta acara dipertandingkan di peringkat antarabangsa.

“Modul yang digunakan adalah strategi untuk raih pingat emas dalam temasya antarabangsa,” katanya.

Mengulas mengenai kemajuan pembinaan pusat latihan skuasy baharu di Stadium Sultan Abdul Halim, katanya, ia berjalan mengikut jadual dan hanya mengalami kelewatan dua peratus.

“Kontraktor beri jaminan projek akan siap mengikut tempoh ditetapkan, iaitu 20 Mei 2019, di mana pembinaan mengambil masa selama 12 bulan,” katanya.

Chee Keong berkata, terdapat sedikit pengubahsuaian daripada pelan asal, menyebabkan kos pembinaan berkurangan berbanding kos awal yang diumumkan sebelum ini, RM7.6 juta.

“Sebelum ini, pusat latihan ini dicadangkan dilengkapi penyaman udara bagi keseluruhan ruang. Setelah pengubahsuaian, kita putuskan hanya separuh dewan tempat duduk untuk pertandingan berhawa dingin,” katanya.

Menurutnya, projek terbabit dianugerahkan secara tender terbuka pada tahun lalu.

Majlis pecah tanah projek berkenaan yang dilengkapi lapan gelanggang latihan dan pertandingan disempurnakan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada 3 Februari 2018.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!