Dua calon PT3, SPM melepak mengaku salah ingkar PKP
KUALA KUBU BHARU - Dua remaja berusia 15 dan 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua hari lalu.
Kedua-dua tertuduh juvana itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Mengikut pertuduhan, seorang daripadanya gagal memberi alasan munasabah kerana berhimpun di luar rumah di pangsapuri Bukit Beruntung pada jam 12.10 tengah malam, 15 April lalu, ketika PKP fasa ketiga dikuatkuasakan.
Sementara seorang lagi didapati berkumpul dengan bersembang di depan bengkel motosikal di Bukit Beruntung pada jam 3 pagi, hari yang sama.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum di bawah peraturan 11 (1) peraturan sama, memperuntukkan denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 15 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zulhaini Muhamad Amin itu bagi mendengar laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!