HPP galak guna khidmat farmasi pandu lalu

Orang ramai menggunakan perkhidmatan kaunter farmasi pandu lalu untuk mendapatkan bekalan ubat di Hospital Pulau Pinang, Jalan Residensi di sini.
Orang ramai menggunakan perkhidmatan kaunter farmasi pandu lalu untuk mendapatkan bekalan ubat di Hospital Pulau Pinang, Jalan Residensi di sini.
A
A
A

GEORGETOWN - Hospital Pulau Pinang (HPP) menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan farmasi pandu lalu untuk mengambil ubat-ubatan.

Ketua Unit Farmasi Logistik HPP, Shirley Lim Sheh Lee berkata, pandu lalu dan penghantaran melalui pos adalah dua perkhidmatan tambah nilai (VAS) hospital.

"Hospital ini menawarkan dua perkhidmatan farmasi pandu lalu yang terletak di Blok D bersebelahan blok bersalin dan di tingkat bawah tempat letak kereta bertingkat hospital.

“Secara puratanya, lebih 200 orang menggunakan perkhidmatan pandu lalu yang pertama setiap hari, jadi kami memperluaskannya dengan menyediakan perkhidmatan pandu lalu kedua di tempat letak kereta bertingkat,” katanya kepada media di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah HPP Dr Teo Gim Sian berkata, pesakit perlu menyerahkan preskripsi di kaunter farmasi sebelum mendaftar untuk VAS pilihan mereka.

“Bagi perkhidmatan penghantaran pos, biasanya kami mengenakan caj untuk bayaran setem, tetapi kini dikecualikan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh menghubungi farmasi hospital di talian 04-2225142 untuk maklumat lanjut mengenai VAS farmasi.

Terdahulu, enam pemain industri memberi sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) dan peralatan perubatan bernilai lebih RM1 juta kepada HPP di bawah sumbangan yang diusahakan InvestPenang dan Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM).

Artikel Berkaitan:

Industri berkenaan antaranya ialah Keysight Technologies, Inari Amertron Berhad, Jabil, Motorola Solutions Malaysia Sdn Bhd dan Micron Technology. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!