Kumpul duit bantu barisan hadapan, rakyat terkesan
KEMAMAN - Terkesan dengan nasib sebahagian keluarga yang kehilangan pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekumpulan penduduk Chukai di sini mengambil pendekatan untuk melancarkan misi bantuan kepada golongan itu.
Lebih mengharukan, sumbangan itu adalah daripada simpanan peribadi dan hasil sumbangan rakan-rakan terdekat.
Menurut Zulkifli Mamat, 50, dia dan rakan-rakannya berjaya melaksanakan empat misi bantuan dengan memfokuskan individu yang hilang pendapatan kerana tidak bekerja dan petugas barisan hadapan.
"Majoriti penerima adalah ibu tunggal kerana kebanyakan mereka bekerja di kedai makan, bekerja kontrak dan ada kalangan penerima di kalangan ketua keluarga yang hilang mata pencarian.
"Kebanyakan penerima menghubungi saya setelah mendapat maklumat daripada facebook, whatsapp dan media sosial," katanya.
Zulkifli berkata, sumbangan diberikan pula adalah makanan asas seperti beras, gandum, susu, minyak masak, sardin, mihun, biskut, gula dan teh.
"Penerima akan datang mengambil bantuan terus di tempat kami manakala bagi warga emas dan yang tiada kenderaan, kami akan hantar," katanya.
Selain Zulkifli yang bertindak sebagai ketua kumpulan, lapan rakannya yang lain turut sama membantu iaitu Zariah Mamat, Ngah Chik, Wan Mohamad Hazman Wan Harun, Ahmad Khairul Ikhwan Mohd Kamal, Atiffi Syafiq Nordin, Abdul Malek Osman, Mohd Fuad Nor Azman dan Muhammad Muaz Mazlan.
Katanya, mereka berjaya mengagihkan 150 bungkusan bantuan barangan asas kepada penerima di Kemasik, Kijal, Bukit Kuang, Bukit Mentok, Geliga, Paya Berenjut, Fikri, Seri Bandi dan Chukai.
Selain itu, mereka turut mengagihkan bungkusan makanan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Kemaman, Klinik Batu 2 Kemaman serta pasukan keselamatan yang terlibat tugas sekatan jalan raya dan lokasi-lokasi tumpuan.
"Kami bersyukur kerana banyak sumbangan wang, barangan dan minuman dari The Bolock Coffee. Petugas sukarelawan juga tidak jemu menyumbang tenaga terutama membungkus, memasak dan membuat penghantaran.
"Insya-ALLAH misi ini kita akan teruskan lagi pada masa akan datang jika terus menerima sumbangan dan kepercayaan sahabat-sahabat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!