OKU ditahan ingkar PKP, bawa dadah dalam topi keledar
HULU TERENGGANU- Dua lelaki termasuk seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) kudung tangan, ditahan di tepi jalan, Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong, di sini, hari ini bukan setakat ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi memiliki dadah.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mereka yang berusia 40 dan 45 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Telemong, di sini, kira-kira jam 12.36 tengah hari.
"Sebelum itu, mereka yang menaiki sebuah motosikal dilihat berada dalam keadaan mencurigakan. Tetapi mereka enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri dengan memecut motosikal dinaiki menuju ke Kuala Telemong, di sini.
"Namun, cubaan mereka tidak berhasil apabila mereka ditahan ketika sekatan jalan raya yang dibuat oleh petugas RELA," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Mohd Adli berkata, pemeriksaan ke atas tubuh badan mereka dilakukan sebelum polis menemukan satu botol plastik berisi serbuk putih disyaki dadah yang disorokkan di dalam topi keledar yang dipakai oleh lelaki OKU berkenaan.
"Turut ditemukan tiga jarum suntikan disyaki alat digunakan untuk menghisap dadah sebelum kedua-duanya dibawa ke Balai Polis Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek, didapati positif dadah jenis morfin dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Sekyen 15(1) ADB 1952.
Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan di bawah Peraturan 11 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana ingkar PKP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!