Abdul Wahid dilantik Pengerusi Bursa Malaysia
KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia Bhd telah melantik Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi bukan eksekutifnya berkuat kuasa 1 Mei 2020, menggantikan Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen.
Dalam satu kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata, Abdul Wahid mempunyai pengalaman korporat yang luas, memimpin organisasi utama dalam bidang pembangunan infrastruktur, telekomunikasi, perkhidmatan kewangan dan pengurusan pelaburan.
“Abdul Wahid berkhidmat sebagai pengerusi kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) - syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia - dari Ogos 2016 hingga Jun 2018, setelah menamatkan tugasnya sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam Perancangan Ekonomi dari bulan Jun 2013 hingga Jun 2016.
"Sebelum pelantikannya sebagai anggota kabinet, Tan Sri Abdul Wahid adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank dari Mei 2008. Dia juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi Persatuan Bank-Bank di Malaysia dari Mei 2009 hingga Jun 2013," katanya.
Sebelum menyertai Maybank, Bursa Malaysia berkata Abdul Wahid adalah Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Telekom Malaysia Bhd (TM) dari Julai 2004 hingga tamat penggabungannya dengan Axiata Group Bhd pada April 2008.
"Beliau juga sebelumnya adalah Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group Bhd dari Oktober 2001 hingga Jun 2004," katanya.
Kaunter Bursa Malaysia naik tiga sen kepada RM5.88 pada penutupan hari ini, dengan 1.39 juta saham bertukar tangan.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!