Kisah Noor Hisham, Lara Khadijah berbalas surat

Murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Lara Khadijah McAfee menunjukkan gambar surat yang dibalas oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang tular di media sosial ketika ditemui di Taman Permint Perdana Seberang Takir hari ini. - Foto Bernama
Murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Lara Khadijah McAfee menunjukkan gambar surat yang dibalas oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang tular di media sosial ketika ditemui di Taman Permint Perdana Seberang Takir hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kewibawaan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang diiktiraf sebagai antara tiga tokoh perubatan terbaik di dunia ternyata membanggakan rakyat di negara ini, bukan sahaja golongan dewasa malah turut menarik minat golongan kanak-kanak.

Seorang kanak-kanak, Lara Khadijah McAfee, 9, dari Kuala Terengganu yang teruja dengan perkembangan itu turut membuat kejutan dengan menulis surat kepada Noor Hisham sebagai tanda penghargaan buat 'jeneral perang' itu.

Pelajar Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Seri Budiman itu turut mengirimkan gelang (loom band) berwarna biru kepada sebagai tanda persahabatan dan ucapan terima kasih di atas komitmen Noor Hisham mengetuai pasukan perubatan negara dalam memastikan rantaian penularan koronavirus (Covid-19) diputuskan segera.

“Saya buatkan gelang ini kepada kawan-kawan sebagai tanda persahabatan.

“Gelang ini saya buatkan kepada Dr kerana bekerja dan menolong semua rakyat Malaysia agar mereka sentiasa selamat dan sihat sepanjang wabak Covid-19 ini. Jaga diri. Sahabatmu, Lara,” tulisnya melalui surat bertarikh 19 Mac lalu.

Gambar kiri: Surat balasan Noor Hisham buat Lara. Gambar kanan: Gelang dan surat dikirim Lara buat Noor Hisham tular di laman sosial.
Gambar kiri: Surat balasan Noor Hisham buat Lara. Gambar kanan: Gelang dan surat dikirim Lara buat Noor Hisham tular di laman sosial.

Surat itu ternyata mendapat perhatian Noor Hisham dan kemudiannya membalas dengan sepucuk surat rasmi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam.

“Kepada Lara, terima kasih atas surat dan gelang yang cantik itu. Cucu saya memakai dan sukakannya,” tulisnya.

Artikel Berkaitan:

Noor Hisham turut menjelaskan, usaha yang dilakukan ini bukan dilakukan secara bersendirian malah berasa bertuah kerana mempunyai pasukan yang hebat bersamanya untuk membantu negara.

Beliau juga turut berpesan kepada Lara Khadijah supaya belajar bersungguh-sungguh dan memastikan prestasi yang baik dalam pendidikan.

“Satu hari nanti, giliran anda pula membantu Malaysia. Kejarlah cita-citamu dan kerja keraslah untuknya. Daripada sahabatmu, Dr Hisham,” tulisnya.

Peristiwa balas-membalas surat itu ternyata mengukir senyuman di hati warganet dan rata-ratanya turut terharu dengan balasan surat tersebut.

Memetik Bernama, Lara Khadijah, anak bongsu kepada Pengarah Pusat Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Anuar McAfee,55, dan Eksekutif Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan Terengganu Incorporated, Mutiara Jusuf McAfee, 46, ini sangat menggemari aktiviti seni yang berasaskan kemahiran dan banyak mempelajarinya daripada YouTube.

Menurut ibunya, surat itu adalah pengalaman pertama Lara Khadijah menulis kepada 'orang besar negara' dan berharap ia akan membantu anaknya itu memiliki rasa tanggungjawab dan prihatin dengan perkembangan semasa dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!