Tahniah dan syukur untuk kita semua

A
A
A

SEJAK bermulanya penularan wabak Covid-19 dan diikuti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara kita, ada beberapa wajah yang kemunculannya di kaca TV dinantikan setiap hari.

Salah seorang daripadanya ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Nor Hisham Abdullah, yang kemunculannya di TV setiap petang selalu memberi harapan kepada semua.

Beliau sentiasa tenang menyampaikan perangkaan dan maklumat terkini mengenai keadaan Covid-19 negara.

Dalam waktu sama beliau tidak mengecewakan wartawan dengan menjawab apa juga soalan yang dikemukakan.

Jelas sekali Dr Noor Hisham tahu bidangnya, mengikuti perkembangan terkini menganai wabak maut itu dan memberikan cadangan untuk menanganinya.

Maka tidak menghairankan beliau diiktiraf sebagai antara doktor terbaik dunia dalam menguruskan dan menangani Covid-19.

Tentu sahaja ada wajah-wajah lain yang kemunculannya di kaca TV setiap hari turut dinantikan dan selalu diharap membawa harapan baharu kepada orang ramai.

Antaranya ialah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang muncul untuk melaporkan secara keseluruhan keadaan operasi polis dan tentera mengenai PKP.

Artikel Berkaitan:

Berapa sekatan jalan raya, berapa kenderaan diperiksa, berapa kena tangkap, berapa kena denda, berapa premis telah dilakukan nyahkuman. Itu bidang Ismail Sabri.

Dengan kemeja bersising lengan, tidak bertali leher tidak berjaket, beliau kadangkala kelihatan letih tetapi sabar dan tenang melayani setiap pertanyaan media.

Kalau PKP ini diteruskan lebih lama lagi, Tok percaya berat badan Ismail Sabri mungkin boleh merosot, tidak perlu bersenam sepanjang berkurung di rumah.

Dr Noor Hisham, Ismail Sabri dan pegawai dan menteri-menteri lain, hatta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memang masing-masing ada peranan dan sumbangan.

Tetapi peranan dan sumbangan terbesar dalam melawan virus maut yang melanda ini adalah kita sendiri sebagai rakyat yang cintakan diri, keluarga dan negara.

Tidak dapat dinafikan sejak PKP dikuatkuasakan kita taat mematuhi segala peraturan pihak berkuasa.

Kita berkorban untuk tidak mengunjungi saudara di kampung, kita menahan perasaan untuk tidak bergerombolan makan dan berfoya, tidak ada kenduri kahwin.

Malah untuk beberapa minggu kebelakangan ini umat Islam – juga penganut agama lain – sabar mengelakkan diri daripada perkumpulan keagamaan.

Hatta kita juga mengehadkan diri untuk mencampuri hal-hal yang amat peribadi, termasuk kematian keluarga. Kita tahu bahaya dan tidak mahu memanjangkan jangkitan, maka kita menuruti apa yang diarahkan pihak berkuasa.

Bahawa pematuhan kita terhadap PKP mencapai tahap melebihi 95 peratus adalah bukti rakyat negara ini bersatu dan bersungguh-sungguh dalam memerangi wabak maut yang melanda serentak di seluruh dunia.

Maka syabas untuk kita semua. Semoga Covid-19 di tempat kita dapat dihentikan penyebarannya.

Dalam pada itu jangan pula kita menafikan peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh petugas barisan hadapan.

Pasukan polis dan tentera bekerja bertungkus lumus tanpa mengira panas atau hujan, siang malam meninggalkan anak isteri berkawal di sekatan jalan raya seluruh negara.

Para doktor, jururawat, petugas perubatan dan kakitangan lain hospital sentiasa melayani pesakit sepanjang 24 jam untuk memastikan semua ditangani dengan baik, walaupun mereka sendiri terdedah kepada pelbagai bahaya.

Petugas barisan hadapan ini tidak minta dipuji, mereka ikhlas melaksanakan tugas. Patuhilah mereka.

AKHIR kalam, ada juga sebilangan kecil yang berdegil tidak mematuhi peraturan. Amaran diberi tidak diendahkan, denda RM1,000 pun mereka tidak peduli.

Maka orang yang degil lagi bodoh sombong ini sumbatkan sahaja dalam penjara. Biarkan luncai terjun dengan labu-labunya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!