Siapa berjiwa besar?

A
A
A

SAYA percaya kita seringkali mendengar istilah ‘berjiwa besar’ dan ‘berjiwa kecil’. Orang yang berjiwa besar selalu dikaitkan dengan kejayaan, manakala bagi yang berjiwa kecil disulami dengan kegagalan.

Natijahnya, tiada sesiapa pun suka jika digelarkan diri mereka berjiwa kecil. Sudah tentu mereka akan menafikan dan marah dengan gelaran tersebut.

Malah, ada juga yang membuat rumusan bahawa terpisahnya rumah tangga, hilangnya perasaan cinta, rosaknya perhubungan persahabatan, ketaranya sikap permusuhan dan sangat mementingkan diri adalah disebabkan tidak berjiwa besar.

Persoalannya apakah maksud sebenar berjiwa besar?

Sebetulnya, berdasarkan carian umum berjiwa besar bermaksud mempunyai sifat tidak mahu dikuasai orang lain, bercita-cita mulia, sanggup berkorban serta sentiasa bersikap terbuka kepada kebenaran.

Pun begitu, pada hemat saya pandangan yang dikemukakan oleh Syaikh Dr Khalid bin Utsman seorang ulama tafsir yang begitu tersohor di Dammam, Arab Saudi berkaitan ‘Akhlaq al-Kibar’ atau orang yang berjiwa besar adalah sangat menepati maksud yang sebenar.

Menurut beliau, orang yang berjiwa besar adalah memenuhi jiwa mereka dengan semangat yang tinggi, selalu menghindari perbuatan yang hina dan urusan yang remeh-temeh.

Sehinggakan cita-cita dan keinginan mereka turut menolak untuk melakukan hal-hal yang sempit dan bersifat murahan.

Artikel Berkaitan:

Pandangan mereka sentiasa menerawang tinggi dan tidak sibuk dengan hal dirinya sendiri.

Mereka tidak marah dengan hanya satu perkataan yang diucapkan kepada mereka dan tidak pula merasa gembira dengan hanya kerana satu perkataan yang diucapkan oleh mereka.

Orang yang berjiwa besar juga tidak bersifat kagum terhadap pujian dan bukan pula marah terhadap satu celaan. Mereka juga bersifat pemaaf dan sentiasa meminta maaf atas kekurangan dirinya.

Tambah beliau lagi, secara umumnya keinginan kita adalah bercampur aduk antara keinginan membela diri sendiri dan membela kepentingan umum.

Malah, ukuran kemuliaan akhlak bukanlah semasa ketika kita tersenyum dan bersifat reda.

Sebaliknya, pengukuran akhlak yang benar dan hakiki, adalah sentiasa istiqamah berakhlak mulia dalam apa jua situasi dan dugaan.

Berkaitan dengan akhlak yang mulia, sejak dahulu lagi Pendeta Za’Ba telah memberi peringatan kepada kita semua dalam bukunya, ‘Perangai bergantung kepada diri sendiri’ bahawa kita tidak boleh semata-mata berebut untuk mengerjakan amal soleh dengan hanya untuk menempatkan diri ke Syurga, sebaliknya kita mesti jadikan semangat beramal soleh tersebut untuk mempelajari bagaimana memperkukuhkan akhlak kita demi kepentingan sejagat.

Sewajarnya, amal yang soleh itu mendorong kita untuk meletakkan diri dalam masyarakat sebagai individu yang amanah, jujur, perasaan belas ihsan, mudah memaafkan, tidak menyimpan dendam serta pelbagai lagi akhlak yang baik.

Sejujurnya, bukan mudah untuk menjadikan diri kita istiqamah berjiwa besar.

Ada ketikanya kita kecundang dengan nafsu yang cukup besar dan luas. Apa yang penting, kita mesti perkukuhkan lagi niat di dalam jiwa untuk mengurangkan sikap pentingkan diri dan perbanyakkan usaha untuk kepentingan umum.

Selain itu, kita harus belajar untuk tidak membesarkan perkara remeh serta menjauhi perbuatan yang hina di sisi ALLAH dan masyarakat.

Hakikatnya, tidak lama lagi kita akan menyambut bulan Ramadan yang mulia. Pada bulan ini adalah masa yang sesuai untuk mentarbiahkan diri menjadi individu yang berjiwa besar.

Tambahan pula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi lebih banyak masa dan ruang kepada kita untuk bermuhasabah diri.

Ingatlah, bermujahadah untuk jadikan diri kita berjiwa besar harus dilakukan bersungguh-sungguh. Isu jiwa besar dalam kalangan ummah bukanlah suatu perkara yang kecil dan perlu dipinggirkan.

Nilai ini sangat penting untuk kelangsungan hidup di dunia dan peroleh keberkatan di akhirat.

Pun begitu, sebagai permulaan kita mestilah kotakan apa yang kita kata terlebih dahulu selaras dengan Firman ALLAH, “Wahai orang-orang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya” (Surah As-Saff, 61:2-3).

Semoga kita berjiwa besar.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!